Dunia

Palestin tuntut Israel benarkan pilihan raya di Baitulmaqdis

Gesa PBB, EU dan AS beri tekanan kepada rejim pengganas

RAMALLAH, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Palestin menghantar surat kepada beberapa pihak antarabangsa, mendesak memberikan tekanan ke atas rejim pengganas Israel bagi membenarkan pilihan raya diadakan di Baitulmaqdis Timur.

Perdana Menteri, Mohammed Ishtaye menerusi mesyuarat Kabinet secara atas talian memaklumkan, surat berkenaan dihantar kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Russia melalui Kementerian Luar Negeri. 

“Surat itu meminta pihak antarabangsa mewajibkan Israel mematuhi perjanjian yang ditandatangani dan membenarkan rakyat Palestin di Baitulmaqdis Timur untuk terbabit dalam pemilihan legislatif yang dijadualkan pada 22 Mei,” katanya. 

Ishtaye berkata, Palestin mempunyai konsensus untuk mengadakan pemilihan legislatif di semua wilayahnya itu termasuk Baitulmaqdis Timur. 

Pada Januari lalu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan pilihan raya umum 2021 akan merangkumi pilihan raya legislatif pada 22 Mei, pemilihan Presiden pada 31 Julai dan pemilihan Majlis Nasional Palestin pada 31 Ogos. 

Pada kali terakhir Palestin mengadakan pilihan raya presiden adalah pada Mac 2005, sementara pemilihan legislatif pada Januari 2006.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button