Berita Utama

Pemimpin UMNO ‘kluster mahkamah’ perlu letak jawatan

‘Boleh kembali aktif dalam kepimpinan setelah kes selesai'

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Pemimpin UMNO yang terbabit dalam perbicaraan mahkamah perlu meletak jawatan atau berundur sementara bagi mendapatkan semula kepercayaan rakyat.

Penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling menegaskan, pemimpin yang terbabit hanya boleh kembali aktif dalam kepimpinan parti setelah kes mereka ‘selesai’.

“Itu tujuan diminta adakan mesyuarat agung (pemilihan parti) supaya golongan terbabit kes mahkamah tidak perlu bertanding dan dapat berundur dengan cara terhormat.

“Jadi kalau itu berlaku, mereka tak dapat bertanding dalam mesyuarat agung tahun ini, maka secara automatik mereka tidak dapat bertanding dalam pilihan raya.

“Sekali gus UMNO dapat dibersihkan. Sudah ada penjelasan daripada bekas Menteri Besar Selangor bahawa individu yang terlibat dengan kes-kes mahkamah seharusnya meletakkan jawatan dan itu memang pernah berlaku dalam UMNO,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menggesa Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khairy berkata, tindakan itu saja cara untuk selesaikan kemelut dalaman UMNO.

“Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum. Sepatutnya pemilihan diadakan tahun ini.

“UMNO mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat,” katanya

Pemilihan UMNO sepatutnya diadakan tahun lalu selaras dengan Perhimpunan Agung UMNO 2020.

Namun terpaksa ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat pandemik COVID19.

Mengikut perlembagaan UMNO, penangguhan dibenarkan dibuat dalam tempoh 18 bulan dan pernah dilakukan ketika Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan presiden parti.

Bagaimanapun, media pada bulan lalu melaporkan bahawa kepimpinan UMNO bakal mengambil keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti yang dijadual diadakan pada Jun depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button