Berita Utama

Faiz sahkan dipanggil polis berhubung dakwaan cabul

Telah dipanggil pihak polis untuk siasatan pada 18 Mac lalu

BANGI, 9 Syaaban 1442H, Selasa – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil memberitahu, beliau telah dipanggil pihak polis untuk siasatan pada 18 Mac lalu.

Sambil merujuk kepada satu laporan Malaysiakini bertajuk ‘ADUN pembangkang disiasat tuduhan mencabul’, beliau berkata, dirinya telah memberi kerjasama baik kepada pihak polis setakat ini.

“Saya mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan polis ke atas saya. Saya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini media melaporkan, polis sedang menyiasat seorang individu bergelar Yang Berhormat dari sebuah negeri di utara Semenanjung atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita dua minggu lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman, wanita itu telah membuat laporan polis pada 16 Mac lalu mendakwa ahli politik pembangkang itu telah bertindak tidak sopan ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Dalam laporan polisnya, wanita itu mengatakan ahli politik itu telah meminta untuk berjumpa bagi membincangkan isu politik kerana beliau juga anggota parti.

“Wanita berusia 31 tahun itu mengatakan bahawa semasa sedang berjalan-jalan pada 8 Mac sekitar 8.40 malam, suspek didakwa secara tiba-tiba cuba memegang tangan pengadu tetapi telah ditepis oleh pengadu.

“Kemudian semasa pengadu berada di dalam kereta suspek untuk pergi makan, suspek bertindak meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan pengadu tetapi telah ditolak oleh pengadu.

“Walaupun suspek tahu pengadu tidak senang dengan situasi itu, suspek tetap melakukannya. Suspek juga mengingatkan pengadu supaya tidak memberitahu sesiapa tentang kejadian ini,” kata Khalid.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button