Artikel KhasBerita Utama

Rasuah di Malaysia ibarat barah tahap empat

Pengamal rasuah masih bebas berbicara, tak berasa bersalah

KEDUDUKAN Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun 2020 jatuh ke tangga 57 daripada 180 negara berbanding tangga 51 pada 2019.

Data ini menunjukkan bahawa rasuah di Malaysia berada pada tahap amat kritikal. Lebih-lebih lagi pendedahan terbaharu rasuah tender kerajaan bernilai RM3.8 billion.

Rasuah di Malaysia ibarat penyakit barah tahap empat yang sukar untuk dirawat.

Setakat ini tidak nampak jalan penyelesaian yang menyeluruh. Kita didedahkan dengan kes-kes rasuah berprofil tinggi tetapi belum kedengaran jalan penyelesaian yang telah dicapai.

Kita belum ada formula untuk membasmi rasuah kerana ianya melibatkan banyak agensi kerajaan, swasta serta badan penguatkuasa.

Apa yang berlaku ialah seolah-olah rasuah menjadi nadi penggerak negara. Begitulah bayangan jenayah rasuah di Malaysia. Ianya telah meresap dalam seluruh sistem pentadbiran awam negara dan sektor swasta.

Kesimpulan paling mudah dan ringkas untuk memahami gejala rasuah di Malaysia ialah apabila tokoh-tokoh politik dan pemimpin masyarakat terlibat dengan rasuah bermakna ianya merupakan pencetus kepada penyebaran rasuah.

Pemimpin dari serendah-rendah kedudukan hingga setinggi-tingginya terlibat dengan rasuah telah cukup menjadikan amalan rasuah nadi dan pencetus penyebaran rasuah.

Tidak cukup hanya dengan kempen antirasuah dan amaran dari pihak berkuasa bahawa rasuah telah berada pada tahap amat kritikal. Amaran dan kempen tersebut ibarat debu yang berterbangan.

Apa yang peliknya, pengamal rasuah di Malaysia masih bebas berbicara, bahkan mereka sedikitpun tidak berasa bersalah. Mereka masih tamak untuk berada di puncak kepimpinan dan masih diberi kepercayaan untuk memimpin negara.

Ustaz Sharipuddin Ab Kadir
Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Pasir Puteh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button