Berita Utama

Tak boleh rentas negeri selagi Ro tinggi

Mungkin boleh dipertimbang jika Ro seluruh negara bawah 1.0

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 24 Syaaban 1442H, Selasa – Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan cadangan rentas negeri bagi sambutan Hari Raya Aidilfitri jika nilai kebolehjangkitan (Ro) COVID-19 berjaya diturunkan di bawah 1.0 di seluruh negara.

Bagaimanapun, aktivitis Ikatan Pengamal Perubatan Muslim Malaysia (i-Medik), Dr Ahmad Muslim Ahmad Roslan berkata, agak sukar untuk keputusan itu dibuat dalam masa terdekat, apatah lagi menjelang Ramadan.

Ini kerana, keadaan nilai Ro keseluruhan Malaysia adalah 1.02 dan hanya lapan buah negeri yang mempunyai kadar jangkitan di bawah 1.0, katanya.

“Ini bermakna kadar jangkitan COVID-19 dalam komuniti dan tempat kerja masih lagi tinggi. Kebanyakan kes negeri-negeri juga masih merah dan kuning.

“Pembukaan rentas daerah sejak 5 Mac lepas telah memperlihatkan peningkatan nilai Ro sejak 19 Mac bermula dengan 0.9 dan terus meningkat ke 1.0 sehingga sekarang,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Facebook memaklumkan, jangkaan mengikut kes seharian pada 5 April untuk seluruh negara kembali meningkat kepada 1.02. 

Ini bermakna, tiga hari berturut-turut tahap berisiko melebihi 1.0. 

Walaupun secara umum masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, kesalnya masih ada beberapa golongan yang leka dan melanggar SOP membabitkan perkumpulan ramai.

“Faktor-faktor ini memberi gambaran yang kita masih lagi belum bersedia untuk memberi kebenaran rentas negeri lebih-lebih lagi melibatkan musim perayaan yang akan melibatkan perkumpulan di banyak tempat dan kawalan akan menjadi sangat sukar.

“Sekiranya nilai Ro dapat diturunkan di bawah 1.0 di keseluruhan negeri sebelum 1 Syawal, mungkin cadangan kebenaran rentas negeri boleh dipertimbangkan,” katanya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta rakyat bersabar dalam menantikan keputusan kebenaran rentas negeri untuk pulang ke kampung halaman menjelang bulan Ramadan dan Aidilfitri.

“Ini kerana enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak banyak berubah daripada segi kadar jangkitan COVID-19.

“Kes jangkitan masih lagi turun naik. Segala keputusan akan ditentukan oleh Kementerian Kesihatan, kalau kementerian itu kata okay, kita akan membenarkannya,” kata Ismail Sabri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button