Berita Utama

iGuru mohon Mahkamah Persekutuan putuskan keabsahan vernakular

Menamakan kerajaan, menteri pendidikan dan MCA sebagai defendan

BANGI, 25 Syaaban 1442H, Rabu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) memfailkan permohonan bagi mendapatkan penghakiman Mahkamah Persekutuan mengenai keabsahan dan keperlembagaan sekolah vernakular.

IGuru merujuk kepada Mahkamah Persekutuan berhubung sama ada Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membolehkan Menteri Pendidikan menubuhkan sekolah vernakular, sebenarnya melanggar Perkara 152(1)(a) Perlembagaan.

Memetik Free Malaysia Today (FMT), permohonan interlokutori itu difailkan oleh Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, semalam.

Selaku plaintif, beliau mahu penjelasan sama ada kata-kata ‘maksud rasmi’ dalam Perkara 152 turut terpakai untuk sekolah rendah dan menengah, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam satu kes terdahulu, yang mengatakan ia terpakai bagi institusi pengajian tinggi.

Peguam, Shaharudin Ali – yang mewakili plaintif – berkata, Mahkamah Tinggi dijangka menetapkan tarikh untuk kes itu tidak lama lagi.

Antara defendan yang dinamakan dalam permohonan itu adalah Menteri Pendidikan dan kerajaan.

Turut dinamakan adalah MCA, Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Gabungan Persatuan-Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil.

Pada Februari tahun lalu, iGuru memfailkan saman mencabar sekolah vernakular di negara ini.

Kemudian pada Mac, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) turut memfailkan tindakan sama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button