Berita Utama

Kegunaan MySejahtera mampu diperluas untuk sektor lain

Berfungsi sebagai Pusat Sehenti atau Super App untuk rakyat Malaysia

BANGI, 25 Syaaban 1442H, Rabu – Aplikasi MySejahtera mampu diperluaskan penggunaannya untuk sektor-sektor lain, seperti e-dagang, pendidikan dan perkhidmatan penghantaran.

Selain itu, aplikasi berkenaan juga berfungsi sebagai sebuah Pusat Sehenti (One Stop Centre) atau Super App yang menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam satu platform untuk semua rakyat Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, aplikasi yang digunakan hampir 25 juta rakyat negara ini telah membantu kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam mengurus wabak COVID-19.

Beliau berkata, ini termasuk dalam menguruskan maklumat jangkitan, pengawasan penularan wabak serta pendaftaran suntikan vaksin secara waktu sebenar dan terkini.

“Penularan wabak COVID-19 mendorong keperluan untuk mengadaptasi kaedah digital dalam perkhidmatan kesihatan.

“Dengan ini, kami di KKMM akan meneruskan usaha membangunkan bukan sahaja infrastruktur telekomunikasi tetapi juga melipatgandakan penggunaan teknologi digital bagi merealisasikan aspirasi MyDIGITAL untuk manfaat semua lapisan masyarakat ke arah Revolusi Industri 4.0 dan kemakmuran bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan sempena Hari Kesihatan Sedunia yang disambut pada 7 April setiap tahun sejak 1948.

Dengan tema ‘Membina Dunia Yang Lebih Adil dan Sihat’, sambutan itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu-isu kesihatan sejagat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button