Berita UtamaTarbiyah

Memilih untuk ditarbiah

Pilih jiwa ditegur adalah kehebatan yang jarang ada di dalam dunia

PERGELUTAN-pergelutan yang berlaku di dalam kehidupan seorang pendakwah, adalah sebuah pergelutan dalaman. Apabila jiwanya berkecamuk di antara tuntutan nafsu, kelurusan akal dan ketenangan roh.

Di dalam banyak keadaan pergolakan yang berlaku membawa kepada seorang pendakwah tidak melihat dirinya di dalam kekurangan atau kesalahan, malah dia merasakan itulah kebenaran dan tiada kekurangan pada dirinya.

Apabila dia mampu untuk bercakap di hadapan, mampu untuk berterusan memberi idea di dalam mesyuarat, dia sudah selesa dan tidak meletakkan dirinya perlu ditingkatkan, amat malang apabila segala keaiban pada dirinya tidak dipedulikan.

Dengan kesesatan moden yang bertunjangkan humanism (kehendak nafsu serakah manusia sebagai kehendak tertinggi), menampakkan manusia sendiri mampu untuk mencapai segala kemajuan tanpa panduan dan iringan wahyu.

Pendakwah-pendakwah yang hidup di dalam dunia kemodenan hati mereka bingung, bagaimanakah kejahatan Thaghut yang mengkufurkan Allah menjadi begitu maju dan moden? Dan negara umat Islam begitu mundur?.

Pengaruh-pengaruh ketakjuban modernism membawa kepada akah humanism yang secara halus mengubah kiblat, aqidah dan keimanan seorang pendakwah tanpa disedari.

Apabila ditanya apakah sistem politik yang terbaik, mereka dengan bangga berdakwah kepada sistem demokrasi ‘ala syura’ yang kononnya apabila barat mencapai kemajuan dengan demokrasi, maka Islam juga mencapai kemajuan dengan demokrasi.

Apabila melihat sistem perbankan, maka diperjuangkan “sistem ekonomi Islam” yang bertunjangkan kapitalisma, walaupun sistem perbankan Islam sedia ada adalah ijtihad semasa sebagai jalan keluar daripada kemelut kapitalis, tetapi adalah suatu yang perlu diubah dengan amat banyak.

Apabila berkaitan perundangan, dilihat pemisahan penghakiman dan eksekutif begitu cantik dan memperjuangkan semangat legislatif sekular yang mengenepikan kedudukan Islam hanya pada ruang lingkup keluarga.

Bila dilihat sosial dan keagamaan, dinampakkan seolah jalan ‘damai’ ‘penuh rahmah’ sebagai sistem sosial dan keagamaan walaupun diakhirnya tertegak pelbagai elemen pluralism bertunjangkan liberalisma.

Hakikatnya, inilah keadaan hari ini yang berlaku kepada sebahagian manusia secara umum, dan pendakwah secara khusus tanpa mereka sedari bahawa pergolakan yang berlaku pada dirinya adalah benar-benar berlaku, dan tidak menyedari betapa terlalu banyak erti kehidupan dan perbuatannya membawa kepada jiwa yang tidak sensitif terhadap segala kejahilan ummah, hilangnya sensitif terhadap kemunduran ummah, hilangnya sensitif apabila ummah tenggelam di dalam kehidupan yang jauh daripada Islam.

Begitulah kesan apabila seseorang pendakwah kalah di dalam pergelutan melawan kelalaian, membina semangat, dan menuntut ilmu, akhirnya jiwa yang dimiliki seorang pendakwah menjadi sebuah jiwa yang berjalan secara ‘auto pilot’ di dalam kehidupan harian, pagi-pagi pergi kerja, balik rumah ‘enjoy’ Netflix dan hari demi hari berlalu.

Malah, program-program dakwah dan tarbiah hanya tinggal ‘keseronokan sosial’ seperti sembang-sembang yang menggunung tinggi dengan muka serius, namun tidak menghidupkan jiwa yang tenat mahupun menghapuskan secebis kelalaian.

Tatkala inilah seorang pendakwah perlu mengatakan pada diri “cukuplah” dan “inilah masa menyerah tengkuk untuk dimuhasabah dan ditarbiah”.

Dia tidak bisa tempoh berseorangan, tetapi perlukan panduan dan bimbingan yang menyentap hati daripada kelalaian. Pendakwah dan pendidik lain yang memerhati hatinya secara halus dan telitit berkaitan kekurangan pada dirinya.

Memilih jiwa untuk ditegur dan ditarbiah adalah suatu kehebatan dan ketinggian jiwa yang amat jarang di dalam dunia hari ini. Di dalam arus modernisasi dan humanis jiwa-jiwa manusia menjadi halus ibarat tisu sepertimana yang digambarkan oleh Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna “Seandai angin bertipu di pipi mereka, pasti terluka (kesakitan kerana lembiknya jiwa mereka)” dan Imam Hasan Al-Banna mengatakan kerana pemuda-pemuda lembik ini terlalu impikan dunia dan inginkan dunia diberi kepada mereka.

Bukankah itu keadaan majoriti yang menghabiskan sepenuh tenaga untuk gaji? Sehabis fokus untuk gaji? Sehabis gaji untuk kenikmatan dunia sahaja tanpa menafikan wujud segelintir yang ikhlas bekerja dan berinfak fi sabilillah daripada harta dan jiwa mereka (Adakah Kita Golongan Yang Bekerja – Himpunan Risalah Hasan Al-Banna).

Maka, jiwa sehebat Umar yang ditegur oleh seorang pemuda sepertimana diriwayatkan di dalam kitab Al-Khiraj karangan Abi Yusuf apabila seorang pemuda berkata kepada Umar: “Bertaqwalah kepada wahai Umar!”, maka sebahagian menyanggah dan berkata “Senyap kamu! Kamu tujukan itu pada Amirul Mukminin!” Maka Umar menjawab:

دعه، لا خير فيهم إن لم يقولوها لنا، ولا خير فينا إن لم نقبل

“Biarkan dia (untuk bercakap), tiada kebaikan pada dirinya melainkan dia mengatakan (apa yang terbuku) dan tiada kebaikan pada kami (aku) melainkan mendengar,”

Kerana itu Nabi berpesan “Agama itu adalah nasihat” dan Imam Al-Banna mensyarahkan hadis ini “Maka seorang akh (pendakwah) apabila melihat pada saudaranya aib atau kekurangan, pantas menegur, dan diteirma oleh akh yang ditegur nasihat saudaranya dengan penuh gembira dan seronok, dan pantas berterima kasih kepada sahabatnya” -(Sistem Usrah, Himpunan Risalah Hasan Al-Banna).

Inilah budaya seorang muslim secara umum, dan budaya mereka yang memahami bahawa dirinya penuh kekurangan dan perlukan bimbingan di dalam dunia yang penuh kejahilan, maka menggabungkan diri di dalam sebuah amal tarbiah/pembentukan diri dengan penuh lapang untuk dibentuk dan menerima nasihat yang ikhlas dari sahabatnya.

Ustaz Mohd Suhail Mohd Sufian
Naib Pengerusi Majlis Ulama Islam ISMA (MUIS)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button