Berita Utama

PEMBELA perhebat kempen Membela Muslim Miskin Bandar

Santuni miskin bandar dengan salur bantuan di Setiawangsa

BANGI, 25 Syaaban 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) semakin giat membantu masyarakat di negara ini, dengan terbaharu meneruskan Kempen Membela Muslim Miskin Bandar di kawasan Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan hari ini, PEMBELA berkata, pihaknya fokus untuk menyantuni beberapa keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan dan mereka akan terus dibantu dari semasa ke semasa.

“Antaranya ialah Encik Majid yang merupakan seorang OKU (orang kurang upaya) dan isteri yang terpaksa menjaga tiga orang anak kecil dan lapan orang cucu di dalam sebuah rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) yang sempit. Kami pernah menceritakan secara ringkas tentang kisah mereka sebelum ini.

“Selain itu, kita juga menyantuni keluarga Puan Norhayati yang mengambil upah membersihkan pasar basah demi menyara keluarga dan suaminya terlalu uzur, yang mana mereka tinggal di sebuah PPR dalam keadaan serba memerlukan,” katanya.

Menurut PEMBELA, barangan agihan berkenaan adalah hasil daripada sumbangan orang ramai yang prihatin terhadap kempen itu.

Antara barangan keperluan asas yang diserahkan termasuk beras, gula, garam, minyak masak, biskut kering, kicap, tepung, sardin serta wang saku untuk simpanan dan perbelanjaan keluarga terbabit.

Usaha pengagihan itu diketuai oleh Ketua Komunikasi dan Multimedia PEMBELA, Haji Rashidi Haris dengan kerjasama persatuan penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) setempat.

“Terima kasih banyak kepada semua yang telah menyumbang melalui kempen ini. InsyaAllah, tabung sumbangan masih dibuka dan digerakkan untuk membantu mereka yang memerlukan ini terutamanya untuk menjalani bulan puasa Ramadan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button