Berita Utama

RUU kualiti benih ‘kayakan’ kapitalis, tindas hak petani

Harga benih mungkin melambung tinggi walaupun dengan subsidi

BANGI, 25 Syaaban 1442H, Rabu – Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman hanya ‘mengkayakan’ golongan kapitalis dan menindas hak petani di negara ini.

Aktivis Pertubuhan Belia Islam Nasional Gombak, Haziq Mahmur mendakwa, RUU itu akan menafikan hak petani untuk menyimpan, memproses dan menggunakan benih komersial.

Maka, beliau tidak menolak kemungkinan harga benih bakal melambung tinggi walaupun dengan subsidi.

“Ini kerana benih dari kapitalis ini datang dengan racunnya sendiri sebab spesifik genetik perlukan spesifik racun.

“Ia juga memberi kesan kepada kemusnahan biodiversiti, jika terjadi monokultur (satu jenis tanaman) dalam satu kawasan tiada sistem rantaian makanan alami yang akan berlaku – penggantungan pada racun perosak – merosakkan alam,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengumumkan RUU itu yang dibincangkan sejak 2019, akan dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang.

Menurutnya, RUU itu akan mengawal selia semua benih terkawal dari segi pemprosesan, pengujian, penjualan, pengedaran serta import dan eksport untuk memastikan kualiti benih yang dihasilkan memenuhi syarat dan piawaian akan ditetapkan.

Mengulas lanjut, Haziq berkata, RUU itu akan memberi ‘untung’ besar kepada syarikat kapitalis yang akan mendominasi benih komersial.

“Petani yang nak tanam, proses dan edar (benih) perlu ada lesen. Nak lesen kena bayar pengerasnya, tiada lesen akan didenda RM100,000 hingga RM200,000.

“Dominasi kapitalis juga akan sewenangnya menaikan harga benih sebab hanya mereka yang berhak hasilkan benih itu,” dakwanya lagi.

Dakwanya, syarikat kapitalis juga akan menekan petani untuk menggunakan benih mereka, bahkan mengambil tindakan undang-undang sekiranya benih komersial digunakan tanpa lesen.

“Sedangkan kebanyakan benih itu diambil daripada petani juga. Petani yang biakkan sendiri, kapitalis ambil, uji kaji, biakkan, patenkan dan jual kembali kepada petani.

“Dan jika petani tiada lesen bila gunakan benih yang asalnya daripada mereka, mereka akan didenda. Lihat betapa kebobrokan RUU ini boleh menindas para petani,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button