Berita Utama

Jawatankuasa SJKC Too Joon Hing desak KPM nyata sebab henti pembinaan

Mah Hang Soon diberi masa 3 hari, jika tak jawatankuasa akan ambil tindakan radikal

PUCHONG, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – Pihak yang menginginkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Too Joon Hing di Bandar Kinrara 5, Puchong diwujudkan nampaknya masih tidak berputus asa mendesak Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memberi reaksi terhadap arahan penghentian pembinaannya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing, Ong Yew Thai seperti dilapor akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily, semalam menggesa KPM agar tidak bersikap dingin dalam menangai isu pembinaan sekolah tersebut. 

Desakan itu dibuat selepas KPM tidak memberi sebarang maklum balas terhadap surat yang ditulis pihak Jawatankuasa Pembinaan SJKC Too Joon Hing.

“Sebaik sahaja tamatnya sidang media berkenaan pembinaan SJKC Too Joon Hing yang dihentikan oleh KPM tanpa sebarang sebab pada 28 Oktober lepas, kami telah menghantar surat kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon dan Ketua Setiausaha KPM untuk mendapatkan penjelasan mengapa pembinaan dihentikan.

“Sehingga hari ini, ahli jawatankuasa pembinaan telah menunggu selama dua minggu tanpa sebarang jawapan dari pihak tersebut. Layanan dingin yang diterima menyebabkan kami berpendapat usaha untuk memulakan semula pembinaan sekolah tersebut bagaikan samar-samar.

“Kami hanya berharap mereka (KPM) boleh menyatakan sebab kepada kami dengan kadar segera. Jika ada perkara yang perlu diperbaiki, misalnya dikurangkan atau ditambah agar kami dapat meneruskan kerja-kerja pembinaan,” katanya.

Berikutan itu, Yew Thai memberikan tempoh tiga hari kepada KPM untuk menyatakan sebab munasabah mengapa pembinaan dihentikan. 

Dia juga menyatakan kesediaan jawatankuasa tersebut untuk bekerjasama dan memenuhi sebarang syarat yang diberikan asalkan kerja pembinaan sekolah dapat diteruskan.

Yew Thai berpendapat, tempoh 14 hari dari tarikh surat ditulis ialah tempoh yang mencukupi bagi KPM dan Hang Soon untuk menyatakan sebab penghentian pembinaan sekolah.

Maka dengan itu, dia menggesa Hang Soon untuk memberikan jawapan dalam masa tiga hari.

“Jika tidak, jawatankuasa pembinaan akan mengadakan perbincangan dan menggunakan pendekatan yang lebih radikal untuk meneruskan pembinaan sekolah.

“Kami akan berbincang dengan pemimpin Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina KL-Selangor (Dong Lian KL-Selangor) untuk langkah seterusnya termasuk tindakan yang lebih radikal untuk memperjuangkannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button