Berita Utama

Yayasan Maghfirah mendanai pembedahan implan koklea Nailah

Kanak-kanak berusia 2 tahun itu alami masalah pendengaran kronik

BANGI, 25 Syaaban 1442H, Rabu – Nailah Abdul Hadi penerima pertama bantuan Tabung Implan Koklea Yayasan Maghfirah selamat menjalani pembedahan, hari ini.

Nailah berusia 2 tahun 7 bulan mengalami masalah pendengaran kronik, di mana kedua-dua belah telinganya tidak dapat mendengar.

Dia sebelum ini disarankan oleh pakar untuk menjalani pembedahan implan koklea.

Ibu kepada Nailah, Husna Zulkurnain mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Maghfirah, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) dan para penyumbang kerana membantu mengembalikan pendengaran anaknya untuk membesar seperti kanak-kanak lain.

Pembedahan implan koklea itu diketuai oleh Pakar Kanak-Kanak Otorinolaringologi, Dr Atiqah Farah Zakaria yang juga merupakan Ketua Implan Koklea Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM).

“Alhamdulillah, dengan izin Allah, implan berjaya dimasukkan ke dalam kedua-dua belah koklea tanpa mengalami sebarang komplikasi.

“Langkah seterusnya adalah proses rehabilitasi dan kerja kuat dari ibu ayah untuk memastikan Nailah mendapat manfaat daripada implan tersebut,” katanya ketika ditemu bual selepas selesai pembedahan.

Pembedahan mengambil masa hampir lapan jam itu melibatkan prosedur implan koklea pada kedua-dua belah telinga Nailah.

Dalam pada itu, Pengarah HPUPM, Prof Madya Muhammad Mohd Isa bersyukur setelah HPUPM yang baru beroperasi kurang daripada dua tahun dapat menyediakan prasarana untuk pembedahan berkenaan.

Beliau juga menghargai kerjasama Yayasan Maghfirah dan para penyumbang dalam membantu menyediakan dana pembedahan implan koklea Nailah.

Tabung Implan Koklea merupakan salah satu kempen di bawah Iqbal Khalid Initiative.

Iqbal Khalid Initiative merupakan sebuah projek bantuan perubatan Yayasan Maghfirah dengan usahasama I-Medik.

Terdapat tiga jenis bantuan yang disediakan iaitu peralatan perubatan, bantuan khidmat terapi dan bantuan perubatan am.

Melalui bantuan perubatan am ini, Tabung Implan Koklea ditubuhkan bagi mendanai beberapa pesakit kanak-kanak yang perlu menjalani pembedahan

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button