Berita UtamaDunia

Penduduk haram Israel serbu tapak arkeologi Sebastia

Israel curi barang antik, larang Palestin beri khidmat kepada pelancong

NABLUS, 1 Jamadilawal 1442H, Rabu – Penduduk haram Israel hari ini menyerbu tapak arkeologi Sebastia di utara bandar Nablus.

Datuk Bandar Sebastia Mohammad Azzem berkata, penduduk Yahudi melakukan perkara itu di bawah perlindungan rejim pengganas Israel, yang menganggap tapak berkenaan tidak hanya terhad kepada penduduk Palestin.

Berlokasi 11 kilometer dari Barat Laut Nablus, Sebastia adalah sebuah bandar bersejarah kecil yang mempunyai penduduk sekitar 3,000 warga Palestin.

Sebastia juga adalah sebuah penempatan terkenal ketika Zaman Logam serta era Rom dan Hellenistik.

Kota ini juga membangunkan ampiteater Rom, kuil, gereja Bizantium dan tentera salib (yang menawan Baitulmaqdis) serta sebuah masjid.

Pada masa sama, penganut Islam dan Kristian percaya bahawa Sebastia adalah tempat pengebumian alim ulama.

Bagaimanapun, Israel berusaha mengambil alih kota berkenaan, sekali gus menjadi lokasi konflik bersama Pihak Berkuasa Palesin (PA), yang melakukan kerja-kerja pemulihan di sana.

Malah, Israel turut melarang Palestin daripada memberikan khidmat kepada pelancong dari serata dunia, selain mencuri barangan antik di kota itu.

Selain itu, warga Palestin turut mengadu bahawa penduduk haram kerap kali menyerang kota itu dan memasang pagar di kawasan-kawasan kuno, di mana upacara keagamaan diadakan di situ.

Seluas 12 dunum dari kawasan arkeologi yang terletak di wilayah B dikendalikan oleh PA dan rejim Zionis, manakala selebihnya yang terletak di wilayah C berada di bawah pentadbiran rejim Zionis sepenuhnya.

Bukan itu sahaja, pemilik restoran dan hotel turut mengadu mengenai kekejaman Israel di bandar itu, yang mengakibatkan mereka mengalami kerosakan dan kerugian teruk.

Israel menggunakan nama kaum Yahudi iaitu Judea dan Samaria bagi merujuk Tebing Barat diduduki untuk memperkuatkan lagi tuntutan palsu mereka terhadap wilayah itu serta sejarah dan agama.

Terdapat lebih daripada 700,000 penduduk Yahudi yang tinggal di penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button