Zahid terus digesa berundur beri laluan kepada Tok Mat
Kepimpinan Presiden UMNO tak lagi dihormati komponen BN: Nazri Aziz

BANGI, 25 Syaaban 1442H, Rabu – Ahli Parlimen Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menggesa, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO.
Mohamed Nazri yang juga Ketua Bahagian UMNO Padang Rengas memberi alasan bahawa, Ahmad Zahid tidak lagi mempunyai kredibiliti untuk memimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Tegasnya, Ahmad Zahid perlu memberi laluan kepada orang lain untuk memimpin parti itu memandangkan imejnya sudah tercalar dengan tuduhan-tuduhan di mahkamah.
“Zahid perlu berundur segera. Soal siapa akan ganti bukan masalah kerana kita ikut sahaja hierarki parti,” katanya seperti dilapor media tempatan.
Beliau berkata, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan adalah individu kedua yang boleh mengambil alih kepimpinan berkenaan.
“Kalau ada ‘warlords’ yang tidak setuju, itu adalah masalah mereka kerana bagi saya, perkara yang betul untuk dibuat adalah mengikut hierarki kerana itu diputuskan oleh akar umbi semasa pemilihan parti.
“Saya yakin Mohamad Hasan mampu ketuai UMNO dan saya harap beliau boleh lakukan perubahan dalam parti,” katanya lagi.
Pada masa sama, Mohamed Nazri juga percaya, kepimpinan Ahmad Zahid tidak lagi dihormati oleh parti komponen BN.
Katanya, perkara itu boleh dibuktikan melalui apa yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC minggu lalu.
“Lihat sahaja AGM MIC hujung minggu lalu, sekiranya Presiden UMNO dan Pengerusi BN dihormati dan disegani, parti komponen tidak akan mengundang orang luar untuk merasmikan.
“Ini memalukan. Ini juga jelas bahawa Zahid tidak ada kredibiliti sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN,” katanya.
Pada Selasa, Ketua Bahagian UMNO Simpang Renggam, Datuk Zakaria Dullah membuat gesaan supaya Ahmad Zahid berundur demi mastikan kelangsungan UMNO agar terus relevan dalam landskap politik tanah air.