Berita Utama

Majlis akad nikah di masjid, surau dibenarkan di Selangor

Hanya 6 sesi sehari masing-masing 3 di sebelah pagi dan petang

 

BANGI, 25 Rabiulawal 1443H, Isnin – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memutuskan untuk membenarkan semua majlis akad nikah dilaksanakan di semua masjid dan surau di negeri ini.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, kebenaran itu tertakluk kepada beberapa syarat utama yang ditetapkan pihaknya.

“Majlis tersebut hanya dibenarkan sebanyak enam sesi sehari masing-masing tiga pada sebelah pagi dan petang.

“Jumlah kehadiran pada majlis akad nikah itu pula hanya melibatkan seramai 20 orang individu.

“Individu berkenaan iaitu masing-masing 10 daripada pihak pengantin lelaki dan perempuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, semua pihak yang menghadiri upacara itu wajib lengkap menerima dua dos suntikan vaksin.

September lalu, JAIS memaklumkan majlis akad nikah hanya dibenarkan di masjid JAIS dan Pejabat Agama Islam Daerah sahaja.

Majlis itu boleh dilangsungkan setiap hari namun kehadiran masih terhad kepada pasangan pengantin dan wali saja, manakala individu lain tidak dibenarkan hadir termasuk jurugambar.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Shahzihan berkata, pihaknya membenarkan pengurusan jenazah bukan COVID-19 daripada kalangan ahli kariah dilaksanakan di masjid dan surau.

“Ia melibatkan kehadiran ahli waris, kaum kerabat terdekat dan ahli kariah pada bilangan tidak melebihi 100 orang.

“Jumlah itu tidak termasuk pegawai atau jawatankuasa masjid atau surau berkenaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button