Berita Utama

AADK Kelantan laksana program saringan air kencing di sekolah

Bertujuan bendung penglibatan pelajar dalam pengambilan dadah

PASIR PUTEH, 26 Syaaban 1442H, Khamis – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Kelantan akan melaksanakan program ujian saringan air kencing kepada pelajar sekolah menengah di negeri itu bermula bulan ini bagi membendung penglibatan pelajar dalam pengambilan dadah.

Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad berkata program itu akan dilaksanakan di semua sekolah menengah di negeri tersebut dan pelajar yang didapati positif akan dimasukkan ke dalam program pemulihan berbentuk kem di bawah agensi tersebut.

“Sekarang ini kami masih belum ada rekod jumlah penglibatan pelajar dengan dadah, oleh itu kita akan melaksanakan program ujian saringan air kencing kepada pelajar memandangkan sekolah ketika ini baru dibuka semula.

“Kita telah berbincang dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi melaksanakan program itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian dan pelancaran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Petai sebagai Sekolah Angkat ADDK, di sini hari ini.

Sehubungan itu juga beliau berharap pihak sekolah akan memberi kerjasama baik dengan tidak menyembunyikan data pelajar yang terlibat dadah.

Menurutnya setakat ini, AADK Kelantan mengenal pasti 15 kawasan berisiko tinggi aktiviti penyalahgunaan dadah membabitkan lima jajahan, antaranya Kota Bharu dan Tumpat. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button