Berita Utama

Bapa sanggup ‘gunakan’ anak 10 tahun beli nombor ekor

Premis dikesan beroperasi sejak 7 bulan lalu walaupun 3 kali diberi amaran

BANGI, 26 Syaaban 1442H, Khamis – Seorang bapa sanggup ‘gunakan’ anaknya yang berusia 10 tahun untuk membeli nombor ekor di sebuah premis judi ekor haram di Taman Samudera, Jalan Air Putih, Kemaman.

Ini selepas polis menerima laporan terdapat kanak-kanak berusia 10 tahun menjadi antara pelanggan di premis judi yang berselindung di sebalik kedai menjual haiwan peliharaan.

Ketua Polis Daerah, Supritenden Hanyan Ramlan berkata, satu serbuan dibuat oleh sepasukan polis dan kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kemaman bagi memastikan operasi pusat judi haram dihentikan serta-merta.

Beliau berkata, kegiatan judi ekor haram serta judi atas talian di premis terbabit dikesan beroperasi sejak tujuh bulan lalu, walaupun sudah tiga kali amaran diberikan.

“Dalam serbuan kira-kira pukul 12 tengah hari ini, bekalan elektrik di premis berkenaan dipotong bagi menghentikan serta-merta kegiatan tersebut,” katanya dipetik Utusan Malaysia, hari ini.

Hanyan berkata, sejak Januari lalu, tiga premis telah dikenakan tindakan sama mengikut Seksyen 21A (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi menghentikan kegiatan judi haram di daerah berkenaan.

Pada masa sama, pihak polis turut berterima kasih kepada masyarakat setempat yang menyalurkan maklumat mengenai kegiatan itu, katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button