Berita UtamaDunia

Datuk Bandar diserang kerana selamatkan kanak-kanak Palestin

Penduduk haram Yahudi kerap serang warga Palestin

TEBING BARAT, 26 Syaaban 1442H, Khamis– Kekejaman penduduk haram Yahudi seperti tiada pengakhiran apabila terbaharu, mereka menyerang Datuk Bandar Sebastia, Mohammad Azem.

Serangan berpunca apabila beliau cuba menyelamatkan kanak-kanak Palestin daripada dipukul dan diculik di sebuah laman arkeologi di bandar Nablus, dekat utara Tebing Barat.

Azem berkata, rejim pengganas Israel yang turut berada di tempat kejadian hanya berdiam diri dan tidak campur tangan ketika beliau diserang penduduk haram Yahudi.

Serangan dilakukan oleh penduduk haram Yahudi ke atas rakyat Palestin adalah perkara biasa, terutama individu bergolongan sayap kanan yang ekstrem.

Pelaku jarang dikenakan hukuman disebabkan perbuatan mereka dilindungi oleh rejim pengganas Israel.

Penduduk haram kerap berkunjung di laman arkeologi Palestin ketika rejim pengganas Israel menutup kawasan itu kepada penduduk Palestin.

Menurut Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), kawasan terbabit telah dikenal pasti sebagai ibu kota kerajaan utara ketika Zaman Besi II di Palestin, selain berfungsi sebagai pusat bandar utama pada zaman Hellenistik dan Rom.

Sekurang-kurangnya 600,000 penduduk haram Yahudi tinggal di lebih daripada 250 penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki.

Menurut undang-undang antarabangsa, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur diklasifikasikan sebagai wilayah Palestin yang diduduki, manakala semua penempatan yang dibina dan penduduk Yahudi yang tinggal di sana adalah haram. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button