Berita Utama

Guru hilang sabar, murid darjah 1 ditampar hingga bengkak bibir

'Saya kecewa jawapan guru besar yang berkata benda dah jadi’

JOHOR BAHRU, 26 Syaaban 1442H, Khamis – Bibir bengkak dan berdarah, demikian kecederaan yang dialami oleh seorang murid tahun satu di sebuah sekolah agama di Kulai, Johor.

Ini selepas murid berkenaan ditampar oleh seorang guru di sekolah berkenaan pada Isnin lalu.

Ibu kanak-kanak tersebut, Ida Sofea Mohamed, 34, kecewa selepas guru berkenaan memberi alasan anak lelakinya itu menangis dan tiada tanda hendak berhenti.

Jelasnya, guru lelaki tersebut dikatakan hilang sabar lalu menampar muka anaknya.

“Bila saya ambil dia balik dari sekolah dan dia buka pelitup muka, saya nampak ada darah dan mulutnya bengkak. Bila diperiksa ada lebam darah beku dalam mulut dengan pipi bengkak sebelah.

“Petang itu saya membawanya ke klinik untuk mendapatkan ubat bagi kebaskan mulut yang bengkak agar dia boleh makan seperti biasa,” katanya seperti dipetik Kosmo!, hari ini.

Tambah ibu kepada dua orang anak itu lagi, apabila dia bersemuka dengan guru berkenaan pada keesokan harinya, guru itu mengakui menampar anaknya.

“Saya juga berasa kecewa dengan jawapan diberikan guru besar sekolah berkenaan yang hanya berkata ‘benda dah jadi’.

“Bagi saya, guru besar sebagai seorang pemimpin perlu lebih profesional dengan memberi janji bahawa perkara seperti itu tidak akan berulang,” katanya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button