Berita Utama

Henti pejuang hak pekerja seks, Dr Madeline digesa letak jawatan

SUHAKAM diingat tak 'bertuhankan' UDHR semata-mata

BANGI, 26 Syaaban 1442H, Khamis – Mana-mana Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) yang tidak boleh mengangkat nilai sepatutnya dibawa dalam negara ini digesa meletak jawatan.

Gesaan itu turut disuarakan kepada Datuk Dr Madeline Berma ekoran kontroversi beliau dalam membentangkan kertas kerja berkaitan hak asasi pekerja seks di Malaysia baru-baru ini.

Pada 27 Mac lalu, Dr Madeline dalam kenyataan di Facebook berkata, pekerja seks di Malaysia menghadapi diskriminasi, ancaman keselamatan, keganasan dan mereka tergolong dalam kumpulan rentan (vulnerable).

Katanya, keadaan ini berlaku disebabkan industri pelacuran tidak sah daripada segi undang-undang negara, maka mereka yang bekerja dalam industri seks dikriminalisasi (criminalisation).

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam ( PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya menyarankan, kerajaan ataupun SUHAKAM melantik pesuruhjaya yang dapat menjaga kedaulatan dan keabsahanan dalam Islam serta keharmonian kaum dan agama di negara ini.

“Yang salah tetap salah jangan kita memperjuangkan perkara yang salah. Itu bagi saya konsep atau falsafah yang tidak betul.

“Kalau itulah teori yang kita nak bawa saya bimbang nanti perompak akan datang jumpa SUHAKAM dan minta dibela,” katanya dalam wawancara ‘Wujudkah Hak Asasi Pekerja Seks’ anjuran TV Al Hijrah semalam.

Selain itu, Pengerusi PEMBELA turut menggesa SUHAKAM tidak hanya ‘bertuhankan’ Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) semata-mata.

“(Sila lihat Cairo dan Asean Declaration). Ini juga satu dokumen yang penting dalam konteks kita sebagai negara Islam dan seorang Asia.

“Jangan kita hanya beriman dengan UDHR yang memberikan ‘universal value’ sangat bertentangan dengan norma-norma kehidupan dalam negara kita,” katanya.

Dalam konteks sama, Haji Aminuddin meminta SUHAKAM melihat semula akta dan peranan suruhanjaya itu.

Beliau turut menggesa SUHAKAM tidak hanya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang seolah-olah bertindak memperjuangkan hak orang lain.

“Cakap mengenai hak komuniti kita. Berapa ramai yang tak ada tanah dan pekerjaan. Itu yang harus diperjuangkan.

“Kenapa kita nak perjuangkan isu besar yang tiada kena mengena dengan kita tetapi meninggalkan hak yang sepatutnya kita perjuangkan di kalangan orang kita?,” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button