Berita UtamaDunia

Kes harian COVID-19 lebih 100,000, India muncul titik panas global

Pakar kesihatan salahkan penduduk tak amalkan SOP

NEW DELHI, 26 Syaaban 1442H, Khamis – India muncul sebagai titik panas global bagi pandemik COVID-19, setelah merekodkan jumlah jangkitan harian tertinggi di dunia dalam beberapa hari terakhir.

Pada Rabu, India melaporkan sebanyak 115, 736 jangkitan baharu, sekaligus menjadikannya sebagai lonjakan terbesar sejak wabak itu bermula.

Kesan lonjakan virus yang cepat di negara pembangun vaksin terbesar di dunia itu memperlahankan tempoh penghantaran vaksin ke negara lain.

Pada masa sama, pakar kesihatan menuding jari ke atas penduduk di negara itu yang tidak mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika penularan wabak pada tahun ini.

Sebelum ini, orang ramai yang kebanyakannya tidak memakai pelitup muka telah berkumpul pada perhimpunan politik besar-besaran yang diadakan di lima negeri pada pilihan raya tempatan.

Lebih membimbangkan, festival keagamaan selama sebulan yang menyaksikan ratusan penduduk berkumpul setiap hari untuk berenang di sungai Gangga yang sedang berlangsung di negeri Uttarakhand.

Majlis perkahwinan yang menyaksikan perkumpulan orang ramai turut menjadi punca peningkatan kes harian COVID-19.

Sehari sebelum Mumbai merekodkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi, beberapa premis seperti pasar, kereta api dan pantai sesak dengan kehadiran orang ramai.

Sementara itu, Presiden Kesihatan Awam India, Srinath Reddy berkata, penggubal undang-undang dan masyarakat setempat sebelum ini berasa selamat kerana menganggap bahawa wabak ini bakal berakhir.

Beliau berkata, mereka juga menganggap diri sendiri sebagai kebal daripada dijangkiti wabak itu.

“Ini adalah tidak benar dan menyebabkan orang ramai tidak mematuhi langkah-langkah pencegahan kesihatan awam,” katanya.

Malah, pakar kesihatan memberi amaran bahawa lebih banyak lagi varian dari Britain, Afrika Selatan dan Brazil yang akan menyumbang kepada peningkatan kes di negara itu. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button