Berita Utama

Polis siasat borang rentas negeri kosong ‘ditandatangani’

Terdapat pemalsuan tandatangan pada borang terbabit

KEMAMAN, 26 Syaaban 1442H, Khamis – Polis membuka kertas siasatan berhubung isu borang rentas negeri kosong yang sudah ditandatangani dan dicop pihak berkuasa, yang tular di laman sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata, terdapat penipuan pada tandatangan pegawai polis pada borang rentas negeri dari Balai Polis Chukai.

“Siasatan awal dijalankan mendapati terdapat pemalsuan tandatangan milik Ketua Polis Balai Polis Chukai, Inspektor Mohamad Ramizan Ramli pada borang itu,” katanya dalam satu kenyataaan hari ini.

Beliau berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan bagi maksud hendak menipu dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar rangkaian atau perkhidmatan rangkaian).

Katanya, borang rentas negeri terbabit diberi kepada seorang wanita untuk ke Kuala Lumpur.

“Wanita ini mahu ke sana bagi menghadiri temu duga mendapatkan pekerjaan yang dijadualkan pada 8 April,” katanya.

Terdahulu, tular kemas kini di media sosial berhubung borang rentas negeri kosong yang bertandatangan dan cop dari Balai Polis Chukai dengan ayat ‘Dapat info terbaru ialah ‘approve’ dulu baru isi ‘form’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button