Berita Utama

Rakyat muak, tak yakin dengan senario politik negara

Situasi semasa UMNO, PAS, Bersatu buatkan rakyat rasa dikhianati

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 26 Syaaban 1442H, Khamis – Jika melihat kepada situasi semasa, tidak dapat disangkal lagi bahawa rakyat semakin jelik dengan suasana politik negara.

Keadaan ini berkemungkinan besar menjadi faktor UMNO mengekalkan sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, sokongan itu juga mengambil kira jumlah pembabitan ahli UMNO menerusi jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang diterajui PN.

“UMNO tidak mahu mengkhianati harapan rakyat yang mahu melihat negara dalam suasana aman apatah lagi mereka terbelenggu dengan pandemik COVID-19 yang terus meningkat,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Jika diperhatikan, Dr Syed Agil berkata, kewibawaan dan pengaruh UMNO banyak bergantung kepada hala tuju kepimpinan parti terbesar di negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, kepimpinan UMNO haruslah berdasarkan kesepakatan semua pemimpin untuk membangun, selain menarik rakyat untuk mengembalikan kepercayaan mereka terhadap parti itu.

Katanya, ia bermaksud parti itu perlu ada perancangan hala tuju yang lebih komprehensif, mengikut rentak suasana politik di negara ini dengan menyasarkan rakyat daripada pelbagai golongan.

“UMNO juga perlu mensantuni budaya dan pemikiran semua golongan masyarakat dengan strategi politiking yang sederhana, tidak ekstrem dan yang lebih penting ialah menyingkirkan persepsi masyarakat terhadap kepimpinan UMNO yang bermasalah sebelum ini,” katanya.

Tambahnya, UMNO itu masih memberi harapan terhadap jalinan kerjasamanya bersama PAS menerusi Muafakat Nasional.

Namun, katanya, UMNO dalam dilema disebabkan PAS secara optimisnya menjalin hubungan dengan PN.

“Apatah lagi UMNO tidak mahu bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15 akan datang.

“Gesaan dan desakan UMNO untuk memaksa kerajaan PN membubarkan Parlimen dan melaksanakan PRU15 juga sangat bergantung kepada kedudukan tahap ekokesihatan pandemik COVID-19 dan sokongan rakyat yang masih muak dan kurang berkeyakinan terhadap senario politik negara sekarang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button