Berita Utama

1.4 tan ikan basah guna dokumen mengelirukan dirampas

MAQIS tahan sebuah lori bawa pelbagai jenis ikan di ICQS

KANGAR, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perlis merampas 1.4 tan ikan basah bernilai RM5,600 kerana menggunakan dokumen yang mengelirukan.

Pengarah MAQIS Perlis, Mohamad Arshad Raffin berkata, pihaknya menahan sebuah lori membawa pelbagai jenis ikan basah ke negara ini di Unit Kargo Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar pada Isnin (5 April).

“Hasil pemeriksaan mendapati bahawa pihak pengimport membawa 1,400 kilogram (1.4 tan) ikan basah yang diikrar pada permit MAQIS namun dokumen tersebut mengelirukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian dengan mengemukakan dokumen palsu, tidak tepat dan mengelirukan adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011(Akta728).

Katanya, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button