Berita Utama

14 individu termasuk 4 warga China didakwa terbabit ‘Geng Nicky’

Tiada pengakuan direkod selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin

PETALING JAYA, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Seramai 14 individu termasuk dua adik ahli perniagaan dalam buruan Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam kumpulan jenayah terancang yang dikenali sebagai ‘Geng Nicky’.

Mereka yang didakwa ialah Lee Han Keat, Lee Kam Onn, Datuk Lee Kum Wong, Datuk Liow Wei Kin, Datuk Liow Wei Loon, Eee Eng Chee, Dr Jovian Joris Tan Chern Chian, Datuk Loo Siew Chin, Lim Kang Li, Datuk Seri Andrew Lim Kim Ming serta empat warga China Huang Lei, Wang Yu Jun, Gu Xing Qiong serta Jiang Xue.

Wei Kin dan Wei Loon merupakan adik kepada Nicky.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Jamaludin Mat berikutan kes itu melibatkan jenayah terancang yang tertakluk di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, 13 tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang “Geng Nicky” di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 20 Mac 2021.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Kim Ming didakwa membantu kumpulan jenayah sama di kawasan SetiaWalk, Persiaran Wawasan, Pusat Bandar Puchong, di sini antara 1 Jan 2017 dan 29 Mac 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memohon jaminan tidak diberikan kepada kesemua tertuduh mengikut Seksyen 13 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kerana ia membabitkan kesalahan serius selain isu keselamatan.

“Pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan dalam masa tiga bulan bagi mendapat arahan lanjut dan izin pendakwaan untuk kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi. Kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi selepas mendapat izin daripada pendakwa raya mengikut Seksyen 177 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Pendakwaan turut memohon waran tangkap dikeluarkan terhadap Nicky dan isterinya, Niu Zhe yang merupakan warganegara China.

Mahkamah kemudian mengeluarkan waran tangkap terhadap Nicky dan isterinya serta tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin selain menetapkan 22 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding hari ini, peguam Datuk Rajpal Singh, Datuk Suraj Singh, M. Mariappan, Tiew Poh Nee, Salim Bashir, Datuk Krishnan Nair, Mohd Salahuddin Salleh, Hafiz Zubir dan Datuk Jansen Chua mewakili beberapa tertuduh.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di perkarangan mahkamah dengan kenderaan polis dari Lokap Berpusat Kuala Lumpur di Jinjang, Kuala Lumpur kira-kira jam 7.30 pagi, diiringi beberapa kenderaan polis.

Minggu lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan 34 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penguat kuasa disyaki mempunyai hubungan dan melindungi kegiatan sindiket jenayah tersebut.

Nicky, 33, merupakan pengasas kepada Winner Dynasty Group yang berpusat di Setiawalk Puchong, Selangor menjadi buruan polis selepas 68 ahlinya ditahan dalam Op Pelican 3.0 bermula 20 hingga 28 Mac lepas. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button