Berita UtamaIstimewa

MUAFAKAT mohon Agong pertimbang bubar SUHAKAM

Bersikap terlalu liberal, berkiblat falsafah tidak serasi Perlembagaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) sudah jauh menyimpang daripada asas landasan penubuhannya kerana dilihat bersikap terlalu liberal.

Bahkan suruhanjaya itu juga amat kuat berkiblatkan falsafah dan konsep luar serta asing yang tidak serasi dengan intipati Perlembagaan.

Melihat kepada rekod mereka, Ketua Aktivis Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Haji Rashidi Haris memohon Yang di-Pertuan Agong membubarkan suruhanjaya itu jika mereka masih berdegil dengan cadangan-cadangan kalut.

“… atau digantikan sahaja dengan pesuruhjaya yang lebih memahami falsafah, nilai, norma serta jati diri kita selaras dengan Perlembagaan Persekutuan 1957 dan selaras dengan kebudayaan Malayuwiyyah-Islamiyyah,” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net.

Mengulas mengenai pembentangan kertas kerja Datuk Dr Madeline Berma berkaitan hak asasi pekerja seks di Malaysia pula, Haji Rashidi menegaskan kenyataan Pesuruhjaya SUHAKAM itu amat jelas bertentangan dengan falsafah dan inti pati Perlembagaan negara.

“Kenyataan sebegitu seolah-olah menggambarkan beliau mahu menghalalkan kegiatan maksiat pelacuran di dalam negara dan melindungi mereka yang terlibat dengan aktiviti haram di sisi agama Islam dan sekali gus menyalahi perundangan negara,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Dr Madeline bertanggungjawab terhadap kenyataannya dan tidak bersikap lontar batu sorok tangan.

Pada 27 Mac lalu, Dr Madeline dalam kenyataan di Facebook berkata, pekerja seks di Malaysia menghadapi diskriminasi, ancaman keselamatan, keganasan dan mereka tergolong dalam kumpulan rentan (vulnerable).

Katanya, keadaan ini berlaku disebabkan industri pelacuran tidak sah daripada segi undang-undang negara, maka mereka yang bekerja dalam industri seks dikriminalisasi (criminalisation).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button