Berita Utama

55,000 guru berusia, berisiko tinggi dijangka terima vaksin fasa ke-2

Semua guru diminta segera daftar di aplikasi MySejahtera untuk dapat suntikan

BANGI, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Seramai 55,000 guru berusia dan berisiko tinggi dijangka dimasukkan dalam kelompok penerima fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Timbalan Menteri Pendidikan I, Muslimin Yahaya berkata, pemberian vaksin itu diharap dapat membantu mengekang peningkatan kluster COVID-19 khususnya membabitkan institusi pendidikan.

Katanya, sebelum ini, seramai empat guru tersenarai untuk menerima suntikan vaksin dalam fasa pertama kerana berisiko tinggi mendapat jangkitan wabak itu.

“Mereka (guru) terbabit mengambil suntikan itu bersama Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin dan fokus kita sekarang ialah seramai 55,000 guru lagi akan menerima suntikan pada fasa kedua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Malaysia Prihatin: Taklimat Isu Semasa Kempen Kesedaran COVID-19 di Dewan Seri Bernam, hari ini.

Muslimin yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar berkata, guru yang tidak disenarai menerima suntikan pada fasa kedua dijangka menerima vaksin pada fasa ketiga dan empat selepas ini.

Pada masa sama, beliau meminta semua guru di seluruh negara segera mendaftarkan diri melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan suntikan vaksin

“Suntikan vaksin (dalam kalangan guru) bertujuan memastikan suasana selamat dan selesa ketika berada di sekolah,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button