Berita Utama

Ambulans bawa pesakit COVID-19 terbalik

Lima mangsa alami cedera ringan

ALOR SETAR, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Sebuah ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang membawa seorang pesakit COVID-19 terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Langgar, berdekatan Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, petang tadi.

Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang berkata, ambulans itu yang turut dinaiki empat petugas KKM sedang dalam perjalanan membawa pesakit tersebut dari Baling ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini bagi rawatan COVID-19.

“Ambulans dinaiki seorang doktor dan seorang jururawat dan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu dan pembantu perubatan mengalami kecederaan ringan. Pesakit COVID-19 itu pula iaitu seorang wanita juga mengalami kecederaan ringan.

“Dua mangsa yang menaiki sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu turut cedera ringan dan telah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada 5.55 petang tadi.

“Anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar tiba di lokasi dua minit kemudian. Terdapat lima mangsa yang menaiki ambulans berkenaan.

“Terdapat dua mangsa di dalam kereta jenis Proton Exora. Mangsa lelaki berusia 40-an mengalami cedera ringan di dada dan mangsa wanita berusia 30-an cedera ringan di bahu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Ahmad Shukri Mat Akhir mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button