Berita Utama

Jangan biar agenda politik halang perpaduan rakyat

'Agenda dan cita-cita seseorang tidak seharusnya dibawa ke dalam masyarakat'

GEORGE TOWN, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Ahli politik dan parti politik tidak harus membiarkan cita-cita dan agenda mereka menjadi penghalang kepada perpaduan masyarakat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Sadique.

“Ahli politik mempunyai agenda dan cita-cita yang besar tapi jangan pula menjadi faktor kepada pecah-belahnya masyarakat.

“Agenda dan cita-cita seseorang tidak seharusnya dibawa ke dalam masyarakat sehingga mengganggu proses perpaduan,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Sains Malaysia (USM) dan kementeriannya, di sini hari ini.

Beliau berkata masyarakat di Malaysia secara amnya mempunyai semangat perpaduan dan ini dibuktikan dengan kemampuan mereka bekerja dan hidup dalam keadaan harmoni walaupun mempunyai latar belakang yang berbeza.

Mengulas majlis hari ini, Halimah berkata dua MoU yang ditandatangani adalah berlandaskan objektif utama iaitu Pembangunan Pelan Merakyatkan Perpaduan – Karib Aksesibiliti Majmuk Inklusiviti (KAMI) dan Pemerkasaan Pelan Tindakan Pembangunan Masyarakat India.

“Saya harap kedua-dua pelan ini dapat dilaksanakan sebelum akhir tahun,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata kedua-dua pelan tersebut dijangkakan dapat mendokong tiga aspirasi utama perpaduan negara, iaitu membina rakyat yang patriotik dan demokratik, membentuk identiti nasional; dan memperkukuh ekosistem perpaduan.

“Pembangunan dan pemerkasaan pelan perpaduan yang diterajui oleh USM dengan sokongan ampuh daripada Kementerian Perpaduan Negara dijangkakan dapat memberikan sumbangan kepada dasar kerajaan dan pengimplementasian sistem penyampaian dengan jayanya,” katanya.

Beliau sebelum itu mewakili USM menandatangani MoU tersebut manakala kementerian berkenaan diwakili Ketua Setiausahanya Datuk Wan Suraya Wan Md Radzi dan majlis turut disaksikan oleh Pengerusi Lembaga Gabenor Universiti Datuk Dr Awang Adek Hussin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button