Berita Utama

Lahir bilionair bukan Bumiputera bukti Malaysia tak sekat kaut kekayaan

Pelik bila keistimewaan Melayu, Bumiputera selalu diminta dihapuskan

BANGI, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Pelik melihat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) masih lagi menggesa kerajaan meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Tentang Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) – yang mendapat bantahan keras sebelum ini.

Walhal hakikatnya jika benar wujud diskriminasi seperti yang diperkatakan, maka agak mustahil wujudnya bilionair dalam kalangan bukan Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Menguatkan lagi dakwaan itu, Forbes menyenaraikan pengasas bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan yang mempunyai nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion) kini adalah bilionair paling kaya di negara ini selepas menyenaraikan Robert Kuok sebagai warga Hong Kong.

Ini diikuti oleh Tan Sri T Ananda Krishnan dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow.

Turut disenaraikan adalah bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.

Bilionair baharu juga turut tersenarai ialah pengasas MR DIY group yang merupakan adik beradik Tan Yu Yeh dan adiknya, Tan Yu We.

Mengulas perkara itu, gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) berkata, ramai bilionair adalah dalam kalangan bukan Melayu Bumiputera, menandakan di Malaysia tidak ada sekatan untuk mengaut kekayaan, tetapi hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera itulah yang selalu diminta dihapuskan.

“Bulan Mac lepas, SUHAKAM masih menggesa kerajaan untuk meratifikasikan konvensyen antarabangsa mengenai penghapusan segala bentuk diskriminasi kaum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ICERD).

“Sekiranya benar wujud penindasan kerana adanya keistimewaan Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan, maka mana mungkin kedudukan manusia terkaya di Malaysia diambil oleh kaum bukan Melayu atau Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, dalam kenyataan sempena memperingati Hari Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Perkauman, SUHAKAM mengesa kerajaan meratifikasikan ICERD.

Tindakan itu atas alasan kononnya dapat menjadi pemangkin kepada usaha lebih bersepadu untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira ras, warna kulit, keturunan, kewarganegaraan atau asal keturunan etnik.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button