Berita Utama

PAS perlu terbalikkan strategi, pujuk Bersatu dengan kekuatan MN

Rakyat tak mahu keadaan kerajaan masih tak mampu ditubuh selepas PRU

BANGI, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Demi penyatuan ummah yang dicita-citakan ramai pihak, baik daripada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun rakyat sendiri, PAS disyor untuk menggunakan strategi baharu.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata, PAS perlu mencuba mengambil pendekatan memujuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan kekuatan Muafakat Nasional (MN).

“PAS perlu cuba pujuk Bersatu. Kerana UMNO melihat, Bersatu itu adik dia. Saya tahu niat PAS itu baik (menyatukan UMNO-Bersatu), walaupun dituduh PAS nak jawatan dan sebagainya, tapi saya tahu niat mereka memang untuk menyatukan. 

“Jadi apa yang boleh dilakukan adalah PAS terbalikkan strategi, kuatkan Muafakat Nasional (MN), untuk memaksa Bersatu bersama-sama MN.

“Itu saya rasa boleh memaksa UMNO menerima Bersatu. Walaupun sebelum ini menolak. Jadi untuk perpaduan ummah, PAS sebagai ‘kingmaker’ perlu melakukan perkara ini,” katanya dalam program Agenda Pertiwi bertajuk ’PN vs BN: Apa nasib politik Melayu?’ yang disiarkan di TV Pertiwi, malam ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika Barisan Nasional (BN) memilih untuk bergerak secara bersendirian pada Pilihan Raya Umum akan datang, ia terpaksa berhadapan dengan PAS. 

“… dan PAS kuat di Terengganu, Kelantan dan Kedah, manakala Bersatu, walaupun tiada sejarah kekuatannya, tetapi pengaruhnya tetap ada. 

“Sebab itu, sebaiknya ketiga-tiga ini bergabung, selesaikan pembahagian kerusi secara dalaman, dan akhirnya, bersama. Itu sebaik-baiknya,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Azmi menegaskan, rakyat tidak mahu berlaku situasi di mana pilihan raya sudah diadakan, namun kerajaan masih tak mampu ditubuhkan.

“Contoh macam Israel sekarang dah dua minggu pilihan raya, kerajaan tak dapat ditubuhkan, kerana satu parti pun tidak kuat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button