Berita Utama

Peguam syarie perlu kekal integriti, etika serta komited

Laksana tugas dengan tanggungjawab, tak bersikap sambil lewa

ARAU, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Peguam syarie perlu melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan tidak bersikap sambil lewa bagi memastikan setiap kes yang dikendalikan mengambil tempoh yang munasabah untuk diselesaikan, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah peguam syarie juga perlu amanah dan bertanggungjawab membantu mahkamah syariah menyelesaikan kes.

“Amanah yang besar ini memerlukan pengamalan nilai-nilai integriti, etika dan komitmen yang tinggi agar hak klien akan terbela berdasarkan kehendak hukum syarak,” titah baginda ketika merasmikan majlis pentauliahan peguam syarie negeri Perlis di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) Ibrahim Deris.

Tuanku Syed Faizuddin, yang juga Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), bertitah peguam syarie hendaklah sentiasa menambah ilmu dalam bidang guaman dan perundangan dan tidak statik dengan amalan kebiasaan sahaja.

“Hal ini penting supaya peguam syarie dapat memberi khidmat guaman berdasarkan hukum syarak dan peruntukan undang-undang yang tepat bagi menjamin keadilan kepada semua pihak,” titah baginda.

Pada majlis tersebut seramai 69 peguam syarie ditauliahkan pada majlis anjuran JKSNPs itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button