Berita Utama

Pemilihan parti boleh ditangguh hingga 18 bulan

Tempoh matang kepimpinan UMNO sekarang tamat 30 Jun

PETALING JAYA, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Majlis Tertinggi (MT) UMNO boleh memutuskan untuk mengadakan pemilihan parti tahun ini atau menangguhkannya sehingga tempoh 18 bulan, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) berkata, mengikut perlembangaan parti, pemilihan UMNO perlu diadakan setiap tiga tahun selepas tempoh matang kepimpinan parti tamat.

“Mengikut perlembagaan UMNO, penangguhan dibenarkan dibuat dalam tempoh 18 bulan oleh MT.

“Tempoh matang bagi kepimpinan UMNO sekarang akan tamat pada 30 Jun 2021, namun terserah kepada MT jika mahu tangguhkan pemilihan,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Pharmaniaga Bhd dan Universti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Pemilihan UMNO 2021 sepatutnya diadakan tahun ini, namun terus menjadi tanda tanya apabila terdapat dua pandangan dalam kalangan kepimpinan parti yang mahu ia ditangguhkan dan yang menggesa dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada Februari lepas, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamdi memberi jaminan pemilihan parti itu akan tetap diadakan tahun ini namun beliau tidak menetapkan tarikh pemilihan parti akan berlangsung. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button