PH angkat Anwar sebagai calon PM
Desak PM nasihat Agong panggil sidang Parlimen, tamatkan darurat

BANGI, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Dalam satu kenyataan, hari ini PH menyatakan Anwar yang juga merupakan Pengerusi gabungan itu akan mengetuai kempen PRU yang akan datang.
Justeru, PH mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk segera menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen dan menamatkan darurat.
Gabungan tersebut turut memaklumkan akan memulakan siri jelajah ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan kepada rakyat berkaitan pendirian dan tawaran PH menyentuh isu ekonomi rakyat, kestabilan politik dan krisis pandemik COVID-19.
“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PH dalam mendepani PRU15 dan seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil.
“Kami akan menggerakkan semua wakil rakyat dan pimpinan negeri untuk memerah seluruh potensi dan keupayaan bagi menangani isu-isu dasar berkait pemulihan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Kami juga akan meneruskan proses libat urus bersama semua pemegang taruh untuk membentuk manifesto PH,” menurut kenyataan itu.
Perkara itu diputuskan ketika pemukiman pimpinan PH yang diadakan selama dua hari di Port Dickson yang bermula, semalam.
PH turut menyatakan pendiriannya yang terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak berdasarkan prinsip serta agenda reformasi demi kepentingan rakyat.