Berita UtamaDunia

Putera Philip mangkat di usia 99 tahun

Baginda pernah jalani pembedahan jantung kerana masalah arteri tersumbat

LONDON, 27 Syaaban 1442H, Jumaat – Putera Philip – Duke of Edinburgh – mangkat, hari ini pada usia 99 tahun, kata Istana Buckingham.

Istana dalam satu kenyataan berkata: “Dengan rasa dukacita yang tinggi, Yang Mulia Ratu telah mengumumkan kematian suaminya yang tercinta, Yang Mulia Putera Philip, Duke of Edinburgh.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia meninggal dunia dengan tenang pagi ini di Istana Windsor.”

Suami Ratu Elizabeth II itu dimasukkan ke hospital pada bulan Februari untuk prosedur merawat jantung.

Baginda dibenarkan pulang dari hospital pada 16 Mac dan kembali ke Istana Windsor.

Putera Philip sebelum ini pernah menjalani pembedahan jantung bagi memasukkan ‘stent’ pada 2011 kerana masalah arteri tersumbat.

Baginda juga pernah menjalani pembedahan pinggul pada 2018 dan pada 2019 pula terbabit dengan kemalangan jalan raya di ladang Sandringham di timur England, yang mencederakan dua orang.

Dilahirkan di pulau Greek, Corfu pada tahun 1921, Duke of Edinburgh mengahwini Elizabeth pada tahun 1947. 

Putera Philip dan Ratu Elizabeth II mempunyai empat anak iaitu Charles, Anne, Andrew dan Edward selain lapan cucu serta sembilan cicit. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button