Berita Utama

3,000 hektar hutan simpan di Perak diteroka secara haram: MB

Lima kes sudah didakwa, beberapa kes lain sedang disiasat

LENGGONG, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Kerajaan Perak menggesa pihak yang meneroka hutan secara haram menghentikan perbuatan sedemikian kerana aktiviti tersebut bakal mengundang bencana alam.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kira-kira 3,000 hektar hutan simpan di Perak diteroka secara haram sehingga kini.

Bagaimanapun katanya, masalah itu sedang dan sudah ditangani Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) dengan lima kes sudah didakwa manakala beberapa kes lain sedang disiasat.

“Hampir semua kes yang berlaku disyaki dilakukan oleh beberapa individu yang sama dengan menebang dan mengambil kayu secara tidak sah dari hutan dan menjualnya.

“Sebilangan mereka yang lain pula terus mengusahakan tanaman di tanah yang sudah ditebang dan ditebas itu.

“Aktiviti penerokaan tanah hutan ini dilakukan secara haram,” katanya seperti dilapor Berita Harian hari ini.

Pada masa sama, Saarani berkata, kerajaan negeri meminta pihak yang terbabit supaya menghentikan segera kegiatan haram itu.

Ini kerana katanya, aktiviti pengambilan kayu dan penerokaan tanah mempunyai undang-undang khusus dan perlu mengikut peraturan.

“Sekiranya aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah dilakukan secara haram, banyak kesan negatif yang akan berlaku dan antaranya menyebabkan banjir lumpur,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button