Berita Utama

Audio: Ahmad Zahid perlu segerakan laporan polis elak spekulasi

Ahli parti akar umbi masih keliru, isu beri imej negatif kepada UMNO

MELAKA, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu segera membuat laporan polis berhubung dakwaan isu rakaman audio perbualan antara beliau dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengelak sebarang spekulasi yang mungkin timbul daripada perkara berkenaan.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ahli parti di peringkat akar umbi dilihat masih keliru dengan isu berkenaan, yang dilihat boleh memberi imej negatif kepada UMNO.

“Kalau percepat laporan polis ia akan memadam kesangsian (dalam kalangan ahli akar umbi) kerana sekarang ada ahli yang kata ya (ia berlaku), ada ahli yang kata tidak. Kalau dah keluar dapatan (tulen atau tidak audio), tiada lagi isu berkaitan audio (selepas ini),” katanya.

Baru-baru ini, satu rakaman audio perbualan antara dua individu dengan suara menyamai Ahmad Zahid dan Anwar, yang didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung UMNO, tersebar di sosial media.

Ditanya mengenai gesaan segelintir pihak dalam UMNO yang mahu Ahmad Zahid berundur daripada jawatan nombor satu parti berkenaan, Ismail Sabri berkata setiap ahli berhak untuk mengeluarkan pandangan masing-masing.

“Setiap ahli berhak untuk mengeluarkan pandangan masing-masing dan kita tak pernah halang ahli daripada bersuara. Dari dahulu lagi ahli bersuara. Apa pandangan mereka kita perlu dengar dan kita tak pernah tutup mulut sesiapa untuk bersuara,” katanya.

Ketua Polis Negara menasihatkan kedua-dua pemimpin tersebut untuk membuat laporan polis berhubung rakaman audio perbulan itu, sekiranya benar diri mereka difitnah. -Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button