Berita Utama

Audio tular konspirasi politik serius jika benar

Sekiranya fitnah, Presiden UMNO, PKR perlu pertahankan diri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Rakaman audio perbualan dua individu mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang pelbagai reaksi.

Rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat yang tular di media sosial itu didakwa berlaku beberapa jam selepas Ahmad Zahid menyampaikan ucapan penggulungan pada Persidangan Agung UMNO (PAU) 2020, hujung Mac.

Klip audio suara didakwa Ahmad Zahid itu antara lain menyatakan apa yang diucapkan beliau dalam PAU 2020 berkenaan hanyalah sebagai taktikal dan strategi, sebelum mendapat pujian daripada suara didakwa sebagai Anwar.

Penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff menyifatkan, rakaman audio kedua-dua pemimpin itu sebagai konspirasi politik yang serius sekiranya ia benar.

Bagaimana jika rakaman itu bersifat fitnah, beliau menggesa Presiden UMNO dan PKR itu mempertahankan diri daripada penyebaran maklumat palsu dan memberi ruang kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terhadap kes tersebut.

“Di Malaysia, tiada seorang pun boleh dilabelkan bersalah sehingga mahkamah memutuskan dia bersalah.

“Sebaliknya jika rakaman itu adalah benar, bermakna ia adalah konspirasi politik yang serius dan akan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat khususnya ahli-ahli UMNO dan PKR.

“Sudah tentu hal ini akan menimbulkan reaksi bercampur-campur dalam kalangan ahli parti-parti tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas mengenai tindakan Khairy Jamaludin yang menggesa supaya pemilihan UMNO diadakan segera, Dr Syed Agil berkata, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tidak perlu terburu-buru bersidang untuk menentukan pemilihan mandat baru kepimpinan parti.

Ini kerana, desakan sesetengah pihak yang mahu menukar pucuk pimpinan parti itu harus dibuat secara rasional, disokong oleh akar umbi parti itu.

Jelasnya, ia bagi memastikan kelestarian proses pertukaran pucuk pimpinan UMNO dilaksanakan dengan sempurna, mengekalkan imej dan reputasi parti itu dalam kalangan masyarakat terutamanya ahli UMNO tanpa kecurigaan mereka terhadap kewibawaan parti tersebut.

“Dalam hal ini, permuafakatan dalam MKT UMNO sangat penting untuk memastikan bahawa kepimpinan pucuk pimpinan parti tersebut mengikut prinsip dan hala tuju parti.

“Ini supaya tidak terburu-buru atau senang-wenangnya membelakangi hasrat dan dukungan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi.

“Ia juga sangat penting ditangani dengan bijaksana bagi membolehkan parti itu kekal relevan dan bersedia memperjuangkan pendirian parti menjelang PRU15,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button