Berita UtamaDunia

Israel berdegil enggan beri kerjasama kepada ICC siasat jenayah perang

Netanyahu tegaskan tidak akan iktiraf kuasa tribunal

TEL AVIV, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Pemimpin negara haram Israel, Benjamin Netanyahu menegaskan, dia tidak akan bekerjasama dengan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) susulan dakwaan melakukan jenayah perang di wilayah Palestin yang diduduki.

Melalui surat maklum balas kepada ICC, Netanyahu berkata, Tel Aviv tidak akan mengiktiraf kuasa tribunal.

Bulan lalu, Ketua Pendakwa ICC Fatou Bensouda dalam satu kenyataan mengumumkan, pihaknya akan memulakan siasatan jenayah perang di wilayah Palestin, yang berada di bawah penjajahan Israel sejak 1967.

Beliau berkata, siasatan itu akan dilakukan secara bebas, tidak berat sebelah, objektif serta tanpa rasa gentar.

Sementara itu, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyambut baik pengumuman itu.

Kementerian Luar PA berkata, pegumuman itu adalah perkara yang ditunggu-tunggu bagi menegakkan keadilan, yang juga tonggak perdamaian yang sangat diperlukan oleh Palestin.

Senada dengannya, Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) turut memuji langkah terbaharu ICC.

 “Kami menyambut baik keputusan ICC untuk menyiasat jenayah perang pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin.  Ini adalah langkah baik bagi mencapai keadilan buat rakyat yang terkorban.

 “Penentangan kami adalah sah dan ini adalah untuk membela rakyat kami.  Semua undang-undang antarabangsa menyetujui penentangan yang sah, ”kata seorang jurucakap Hamas, Hazem Qassem.

Palestin diterima sebagai anggota ICC pada tahun 2015, tiga tahun setelah menandatangani Statut Rom yang digubal mahkamah, berdasarkan status ‘negara pemerhati’ oleh Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB).

Israel dan Amerika Syarikat (AS) enggan mendaftar dalam ICC, yang ditubuhkan pada 2002 bagi menjadi satu-satunya pengadil global dalam jenayah terburuk, jenayah perang serta kekejamam terhadap kemanusiaan di dunia. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button