Berita Utama

Kaji semula peranan SUHAKAM!

Isu pelacuran gagal dihapus selagi pemimpin lebih jaga kepentingan politik

BANGI, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mesti dikaji, disiasat serta ditentukan semula fungsinya sama ada membawa kebaikan atau keburukan kepada rakyat dalam negara ini.

Sekiranya suruhanjaya itu membawa lebih mudarat serta bahaya kepada agama, bangsa dan negara, maka kerajaan wajar membubarkan SUHAKAM.

Naib Pengerusi PEMBELA, Ustaz Masrizi Sat mendakwa, Pesuruhjaya SUHAKAM yang cuba menghalalkan industri seks di Malaysia jelas menunjukkan beliau cuba merosakkan maruah agama, bangsa dan budaya masyarakat yang selama ini sangat sensitif dalam soal menjaga maruah wanita.

Katanya, isu yang cuba diperjuangkan juga jelas tidak diiktiraf oleh undang-undang negara sama ada sivil ataupun syariah.

“Persoalannya, sejak bila negara Malaysia ada industri seks? Sejak bila ada undang-undang yang membenarkan industri seks dalam negara ini?

“Jika ada pun, bukan di atas kebenaran pihak kerajaan tetapi kegiatan sindiket haram yang dipayungi oleh kartel-kartel tertentu,” katanya seperti dilapor portal berita Samudera.

Dalam pada itu, beliau melihat isu pelacuran dalam negara masih gagal dihapuskan selagi kepimpinan negara lebih menjaga kepentingan politik dari kepentingan keselamatan rakyat dalam negara.

“Isu sokongan undi dan pengaruh politik menyebabkan banyak premis-premis haram termasuk pelacuran dibiarkan operasi kerana hendak jaga hati orang bukan Islam.

“Ditambah lagi gejala rasuah dari kartel besar yang berpengaruh yang memayungi industri ini, segelintir pemimpin dan pihak berkuasa yang terlibat buat-buat buta dengan maksiat di depan mata kerana merasakan ia boleh mengisi ekonomi negara dan kroni mereka,” dakwanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga terlalu bertolak ansur dan memberi ruang kepada gerakan perosak seperti ini untuk melebarkan sayapnya.

“Tidak hairanlah kenapa banyak kerosakan telah lama dan parah berlaku dalam gejala maksiat dan mungkar dalam negara kita.

“Sepatutnya organisasi gerakan perosak dari agenda musuh umat Islam dan rakyat dari luar negara dan yang bergerak dalam negara dipantau dengan ketat bahkan segera disiasat dan diambil tindakan tegas jika merbahayakan kepada rakyat dan negara.

“Terutama kepada rakyat pribumi Melayu Islam yang menjadi kaum teras dan majoriti dalam negara kita ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button