Kelompok mahkamah, menteri dijangka bertembung dalam pemilihan UMNO
Ada satu lagi kelompok, kelihatan oportunis, buat sesuatu secara hati-hati

BANGI, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Penganalisis politik menjangkakan terdapat tiga kelompok berbeza yang bakal merebut kepimpinan UMNO, sekali gus akan menentukan hala tuju parti selepas ini.
Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Maara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, ketiga-tiga kelompok itu akan menggunakan segala sumber dan kelebihan masing-masing yang dilihat terhad dalam memastikan kemenangan dalam pemilihan parti.
Mujibu berkata, perkara itu akan menjadikan pemilihan UMNO kembali terbuka dan seimbang.
“Itu baru di peringkat pemilihan parti, belum lagi cerita selepas menang pemilihan.
“Apa pula naratif yang bakal dibawa pemenang dalam merencanakan UMNO?, ” soalnya menulis di Sinar Harian hari ini.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, antara dua kelompok yang dijangka bakal bertembung dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung tidak lama lagi adalah kelompok mahkamah dan kelompok menteri.
Jelasnya, kelompok mahkamah kebanyakannya terdiri daripada mereka yang menguasai kepimpinan parti, namun tidak mempunyai tempat dalam kerajaan.
Manakala, katanya, kelompok menteri pula adalah mereka yang berjawatan dalam kerajaan tetapi terpinggir dalam hierarki parti.
“Kedua-dua kelompok ini ada kekuatan dan kekurangan masing-masing. Jika diimbas amalan UMNO terdahulu, kelompok yang menguasai parti akan menguasai kerajaan, lagi tinggi jawatan dalam parti lagi besarlah jawatannya dalam kerajaan,” katanya.
Mujibu berkata, satu lagi kelompok yang ada dalam UMNO terdiri daripada mereka yang bebas dan tiada kes mahkamah selain tidak mempunyai jawatan dalam kerajaan.
“Walaupun mereka berada dalam hierarki parti, tetapi mereka tidak menunjukkan bahawa mereka bersama dengan presiden.
“Malah, mereka masih kelihatan oportunis dan sanggup menunggu untuk melakukan sesuatu secara berhati-hati tanpa sebarang tekanan,” jelasnya.