Berita Utama

Wakil parti pembangkang dijemput anggotai MPN

Alu-alukan pembabitan pakar daripada pelbagai industri

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju untuk menjemput wakil daripada parti pembangkang menjadi ahli MPN, selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berlandaskan prinsip kolaborasi, inklusif dan keseluruhan negara (whole-of-nation).

Menteri Kewangan Merangkap Menteri Penyelaras PPN Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata parti pembangkang yang dijemput tersebut ialah Pakatan Harapan, Warisan and Pejuang.

Selain itu, katanya, MPN juga bersetuju untuk menjemput wakil daripada kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menganggotai majlis tersebut.

“MPN juga mengalu-alukan kesediaan dan penglibatan pakar daripada pelbagai industri, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan, serta pakar ekonomi, sosial dan kesihatan yang telah bersetuju untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman masing-masing.

“Keanggotaan wakil daripada parti pembangkang, tokoh dan pakar daripada pelbagai sektor ini akan memantapkan lagi keahlian MPN serta pelaksanaan PPN yang bersifat dinamik dan perlu diadaptasi berdasarkan situasi semasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini selepas menghadiri mesyuarat pertama MPN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tengku Zafrul berkata, MPN berharap kepelbagaian pendapat dan kepakaran ini dapat menyumbang kepada, antara lainnya, pemerkasaan sektor kesihatan, peningkatan usaha vaksinasi, penyelarasan, pelaksanaan dan keberkesanan Prosedur Operasi Standard (OSP), serta sokongan dan bantuan kerajaan dalam tempoh pemulihan.

“Seterusnya, MPN juga akan menyampaikan maklumat mengenai aspek PPN kepada rakyat secara telus dan mudah difahami melalui portal rasmi PPN yang akan dilancarkan pada 26 Julai, 2021,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button