Berita Utama

Peranan ahli bidang bantu agenda vaksin COVID-19

Segelintir rujuk penyakit selepas suntikan, namun ia kes terpencil

BANGI, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Peranan ahli bidang dan agensi berkaitan adalah perlu bagi membantu agenda vaksin COVID-19 supaya kebanyakan rakyat terlindung, kata Dr Haliza Abd Rahman.

Profesor Madya di Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, hal itu memandangkan vaksin COVID-19 masih baru dicuba, menyebabkan wujudnya persoalan serta keraguan berkaitan.

Justeru, Dr Haliza berkata, kerajaan juga perlu melipatgandakan usaha memberi penerangan kepada rakyat melalui medium media cetak atau media elektronik serta stesen penyiaran yang ada.

“Setakat ini, kerajaan berjaya menangani krisis COVID-19 dengan baik, tetapi masih banyak perlu dilakukan dan ditambah baik.

“Dengan kerjasama penuh rakyat, hal itu harus dilakukan dan ia boleh dilakukan.

“Libat urus pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga digalakkan kerana ia perlu membabitkan pelbagai wakil daripada seluruh lapisan masyarakat. Usaha ini perlu dilakukan secara tersusun,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Haliza berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan keraguan terhadap vaksin antara 10 ancaman kesihatan sejagat.

Kesan daripada itu, katanya, gerakan kumpulan antivaksin kini lebih teratur, menyebabkan ganggu gugat sistem kesihatan.

Katanya, ini terutamanya melalui penyebaran maklumat tanpa asas dan mengelirukan orang ramai menerusi media sosial, sedangkan isu penyakit itu sangat mudah berjangkit dan berupaya menyebabkan kematian.

Maka, beliau berkata, semua pihak perlu bersyukur vaksin COVID-19 disediakan secara percuma kerana kerajaan sangat mengambil berat kesihatan rakyat.

“Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita perlu yakin dengan kemudahan disediakan kerajaan dan mesti segera mendaftar.

“Penting juga menggalakkan ahli keluarga, saudara-mara dan rakan taulan yakin untuk mendaftar dan seterusnya menerima suntikan vaksin ini.

Pada masa sama, Dr Haliza berkata, realiti harus diterima di mana suntikan vaksin atau imunisasi yang ditetapkan mengambil kira faktor tindak balas pesakit kepada penyakit berkenaan, termasuk daya imunisasi pesakit, kemampuan menerima ubatan dan keadaan kesihatan penerima.

“Walaupun ada segelintir pejuang kemanusiaan merujuk kes penyakit yang berlaku selepas mendapat suntikan vaksin, ia sebenarnya terpencil.

“Ia juga mungkin disebabkan penyakit sedia ada pada pesakit dan bukan disebabkan suntikan vaksin,” jelasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button