Sultan Selangor, Tengku Permaisuri terima suntikan vaksin COVID-19
Turut berkenan terima dos suntikan kedua adalah Raja Muda Selangor

SHAH ALAM, 28 Syaaban 1442H, Sabtu – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin telah selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19 Pfizer BioNTech di Hospital Shah Alam, dekat sini.
Istana Selangor dalam satu hantaran di laman Facebook Selangor Royal Office hari ini, memberitahu, suntikan dos kedua itu dibuat selepas 21 hari baginda berdua berkenan menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 pada 20 Mac lepas.
Turut berkenan menerima suntikan dos kedua adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
“Baginda berkenan mengambil suntikan vaksin COVID-19 selepas dimaklumkan bahawa hampir kesemua petugas barisan hadapan di Selangor telah mendapatkan suntikan vaksin masing-masing.
“Baginda turut menyeru sekalian rakyat jelata di semua peringkat umur supaya tidak ragu-ragu untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 demi kesejahteraan dan kesihatan bersama,” menurut hantaran itu.
Sultan Sharafuddin juga menggesa rakyat agar segera membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera dan bersabar menanti giliran mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan. -Bernama