Berita Utama

COVID-19: Rakyat Malaysia ziarah keluarga antara 32 kes baharu di Singapura

Dikategori sebagai kes import, tak tunjuk gejala atau asimptomatik

SINGAPURA, 29 Syaaban 1442H, Ahad – Seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 53 tahun adalah antara 32 kes baharu COVID-19 dilaporkan di Singapura pada Sabtu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu.

Kementerian itu menerusi data penuh yang dikeluarkan lewat malam tadi memaklukan lelaki itu yang dilabelkan sebagai Kes 61808, tiba dari Malaysia untuk melawat ahli keluarganya yang merupakan Pemastautin Tetap Singapura.

Rakyat Malaysia yang memegang pas lawatan jangka pendek itu dikategorikan sebagai kes import dan tidak menunjukkan gejala atau asimptomatik.

Setakat tengah hari Sabtu, Singapura mencatatkan 32 kes baharu iaitu 31 kes import dan satu kes dalam komuniti, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di sini kepada 60,633.

Sehingga kini, kementerian telah mengklasifikasikan 3,789 daripada kes yang dilaporkan sebagai import, 2,333 kes komuniti dan 54,511 melibatkan penghuni asrama.

Secara keseluruhan, 60,322 kes telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan keluar hospital atau kemudahan rawatan komuniti.

Terdapat 45 kes yang disahkan pada masa ini masih dirawat di hospital dengan seorang dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi.

Sebanyak 236 orang yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan rawatan komuniti.

Setakat ini, 30 orang telah meninggal dunia di republik ini berikutan komplikasi akibat jangkitan COVID-19.

Tiada kluster COVID-19 di Singapura pada masa ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button