Berita UtamaIstimewa

Mahu bertanding di Kelantan, DAP sekadar uji pasaran

Sentimen negatif terhadap DAP di kalangan orang Melayu masih menebal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 29 Syaaban 1442H, Ahad – Cadangan DAP meletakkan calon untuk bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sebagai satu percubaan ‘menguji pasaran’.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, terdapat satu Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan yang dianggap selamat untuk DAP atau parti-parti di dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DUN Kota Lama.

Beliau berkata, berdasarkan PRU14, PH dapat mengumpul undi yang besar di kawasan tersebut.

Ditambah pula sebahagian besar pengundi di DUN Kota Lama adalah kaum Cina, justeru ia dianggap kawasan yang strategik, kata Dr Mazlan.

Untuk rekod, PH yang menawarkan Ab Rashid Ab Rahman daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendapat 6,965 undi, manakala calon PAS yang memenangi DUN itu, Anuar Tan Abdullah mendapat sebanyak 8,410 undi.

Pun begitu, beliau berkata, jalan DAP menuju kemenangan di negeri serambi Mekah itu tetap sukar kerana sentimen negatif terhadap parti yang dianggap cauvinis itu masih menebal di kalangan orang Melayu.

“Saya fikir DAP menyatakan hasrat untuk bertanding di Kelantan ini sebagai cuba menguji pasaran. Saya juga melihat percubaan DAP ini adalah untuk membuktikan parti tersebut boleh diterima oleh orang Melayu. 

“Tetapi saya tak fikir DAP akan diberi laluan walaupun DUN Kota Lama mungkin dianggap DUN yang strategik dan juga satu-satunya peluang untuk parti-parti dalam PH seperti Amanah dan PKR untuk bertanding di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata, DAP mungkin akan menggunakan taktik bagi mendapatkan kerusi tersebut dengan menawarkan calon Melayu untuk bertanding di kawasan itu. 

“Bagaimanapun saya merasakan bahawa sehingga kini sentimen dan juga sikap orang Melayu masih negatif terhadap DAP. Jadi di negeri pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu ini, saya fikir DAP masih belum dapat menyaingi parti Melayu lain,” katanya.

Kelmarin, Bendahari Kebangsaan DAP, Fong Kui Lun berkata, partinya bercadang meletakkan calon untuk bertanding di Kelantan pada PRU15.

Katanya, pertimbangan itu dibuat susulan kejayaan parti mengadakan konvensyen negeri buat julung kalinya, Jumaat lalu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button