Audio Zahid-Anwar, apa yang kami syaki benar: Pejuang
‘Kami rasa memang dua tokoh itu yang bercakap dalam rakaman’

BANGI, 29 Syaaban 1442H, Ahad – Pejuang mendakwa, rakaman audio yang dipercayai perbualan antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan apa yang disyaki selama ini adalah benar.
Ia terutamanya berkenaan wujudnya rundingan di antara kedua-dua buah parti tersebut.
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pendedahan mengenai rakaman audio itu nyata sesuatu yang mengecewakan.
“Sebelum ini, kami di pihak Pejuang dah berapa kali minta supaya didedahkan apa bentuk kerjasama sekiranya ada, antara Pakatan Harapan khususnya PKR dengan UMNO, khususnya kluster mahkamah.
“Dan kami tidak pernah mendapat jawapan, malah kalau pun ada jawapan seolah-olah berdolak-dalih, tak memberi jawapan yang tepat. Tetapi bila dah didedahkan rakaman ini, maka apa yang kami syak sebelum ini nampaknya terbukti benar.
“Dan saya tak lihat bagaimana kami boleh memberi sebarang bentuk kerjasama kepada mana-mana pihak yang sanggup bekerjasama dengan kluster mahkamah yang selalu kita sebutkan,” katanya seperti dilapor portal MalaysiaKini, hari ini.
Rakaman audio perbualan di antara dua individu yang dikatakan mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar itu telah tersebar dengan meluas di media sosial dan blog, didakwa berlaku selepas Perhimpunan Agung UMNO, baru-baru ini, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengesahkan polis telah membuka kertas siasatan mengenainya.
Bagaimanpun, Ahmad Zahid dan Anwar menafikan kesahihan klip video berkenaan.
Semalam, Anwar mempersoalkan sekiranya beliau melakukan sebarang jenayah jika rakaman audio tersebut adalah tulen.
Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, kesahihan audio itu diperkuatkan lagi apabila Anwar mengeluarkan kenyataan seolah-olah mengiakan rakaman terbabit.
“Semalam pula apabila saya mendengar kenyataan yang telah dibuat Anwar Ibrahim yang seolah-olah membayangkan bahawa ‘kalau pun benar mereka cakap begitu apa salahnya’.
“Jadi kalau dah macam itu maksudnya betullah tu,” katanya.
Tambahnya, pihaknya sejak awal menunggu penafian daripada kedua-dua Ahli Parlimen berkenaan.
“Walaupun daripada firasat kami sebenarnya, kami rasakan bahawa memang dua tokoh itulah yang bercakap dalam rakaman itu.
“Sebab cara bercakap, kandungan cakap pun kita rasakan selaras dengan apa yang telah berlaku sebelum ini.
“Antara lain surat yang telah ditandatangani oleh Zahid Hamidi kepada Yang di-Pertuan Agong juga seiring dengan apa yang telah disebut dalam perbualan antara dua pihak itu,” katanya.