Berita Utama

Kumpulan UMNO 3.0 hanya mahu kekal jawatan dalam kerajaan?

Mahu singkirkan Zahid, Tok Mat selain kekalkan UMNO dalam PN

BANGI, 29 Syaaban 1442H, Ahad – Kemunculan kumpulan pemimpin baharu dikenali sebagai UMNO 3.0 didakwa, bukan semata-mata mahu menjatuhkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan tetapi miliki agenda lebih besar.

Motif utama mereka adalah untuk memastikan UMNO kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus menjamin jawatan dalam kerajaan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, oleh disebabkan itu, gesaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz supaya menteri UMNO meletakkan jawatan adalah wajar.

“Nama kumpulan tidak penting. Sesiapa boleh nafi. Tetapi perancangan mereka itu yang jadi isu. Apakah ia wujud? Ternyata tindak tanduk mereka bukan lagi rahsia.

“Siapa mereka? Ia juga bukan rahsia. Ada yang buat kenyataan terbuka supaya pemilihan parti disegerakan. Mereka yakin masalah parti selesai jika pemilihan parti disegerakan.

“Ada segelintir melihat dengan jawatan menteri mereka lebih mudah menang jika bertanding jawatan utama parti termasuk MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Bila tidak berjawatan utama dalam parti nama mereka tenggelam. Jawatan menteri jadikan mereka masih relevan dalam politik negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Puad berkata, walau apa pun matlamat kumpulan UMNO 3.0 ini, mereka pasti gagal jika berniat untuk mengubah keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di mana UMNO mesti keluar dari kerajaan PN.

“Pada mereka buang Zahid memudahkan usaha untuk batal mandat PAU kepada presiden untuk tentukan tarikh keluar dari kerajaan PN.

“Hampir 99 peratus kluster menteri berdiri dan angkat tangan sokong UMNO keluar dari kerajaan PN. Maka apa maruah pendokong UMNO 3.0 jika menentang keputusan PAU 2020?,” soalnya.

Sebelum ini, tersebar spekulasi rancangan menyingkirkan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Najib Razak dari pentas politik menjelang Ogos ini, sekali gus menyambut kemunculan kepimpinan baharu parti dikenali sebagai UMNO 3.0.

“UMNO 3.0 bakal mempunyai kepimpinan baharu yang akan bekerjasama dengan PPBM dan PAS,” kata sumber kepada portal FMT.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button