Berita UtamaDunia

Lebih 6 juta penduduk hidup sengsara, kebuluran di Syria

Diplomat Turki kesal hanya satu pintu sempadan di Syria dibuka untuk salur bantuan

ANKARA, 29 Syaaban 1442H, Ahad – Kira-kira 2.7 juta penduduk hidup dalam kesukaran, manakala 3.4 juta lagi berisiko kebuluran di barat laut Syria.

Diplomat Turki yang mengetuai Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volkan Bozkir menyifatkan, perkara itu sebagai salah satu malapetaka terbesar yang dialami Syria selepas Perang Dunia II.

“Selain mereka yang berhijrah ke Turki, Lubnan dan Jordan, saya bercakap mengenai mereka yang tinggal di utara Syria.

“PBB telah menangani masalah Syria sebanyak tiga kali dan kami berkesempatan untuk membincangkan dari semua aspek termasuk bantuan kemanusiaan.

“Namun, saya secara peribadi ingin datang ke sini untuk memerhatikan operasi bantuan kemanusiaan ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau kesal kerana hanya satu daripada empat pintu sempadan dibuka, menyebabkan bantuan PBB ke negara itu terhad.

“Saya harap Majlis Keselamatan akan meningkatkan pembukaan pintu secepat mungkin. Saya menyokong seruan dan usaha yang dilakukan oleh masyarakat antarabangsa mengenai isu ini,” katanya.

Volkan berkata demikian ketika memeriksa Kawasan Pemindahan PBB di daerah Reyhanli dekat wilayah selatan Hatay.

Pada masa sama, Volkan berkata, beliau akan menyampaikan perkara itu kepada semua negara anggota PBB setelah kembali ke New York.

Syria mengalami perang saudara sejak tahun 2011, ketika berada di bawah rejim Presiden Bashir al-Assad

Syria dilanda perang saudara sejak awal 2011, ketika rejim Bashar bertindak keras terhadap protes prodemokrasi di negara itu sehingga menyebabkan lebih lima juta rakyatnya dipindahkan.

Selain itu, Turki menjadi tuan rumah kepada 3.6 juta pelarian Syria. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button