Berita UtamaIstimewa

PAS yakin DAP hilang wang deposit jika bertanding di Kelantan

Rakyat akan menolak DAP, kuncu-kuncunya pada pilihan raya akan datang

Oleh Fazleen Safina

BANGI, 29 Syaaban 1442H, Ahad – DAP dan sekutunya akan kehilangan wang deposit sekiranya parti itu benar-benar mahu bertanding di Kelantan pada pilihan raya umum akan datang.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, hal ini kerana rakyat telah melihat rekod buruk dalam tempoh 22 bulan pentadbiran kerajaan terdahulu, yang turut dikuasai oleh DAP.

“…khususnya bagi kepentingan orang-orang Melayu dan Islam,” katanya seperti dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Terdahulu, DAP bercadang meletakkan calon untuk bertanding di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bendahari Kebangsaan DAP, Fong Kui Lun berkata, pertimbangan itu dibuat susulan kejayaan parti mengadakan konvensyen negeri buat julung kalinya.

“Dalam PRU15, kita rasa akan bertanding di Kelantan. DAP pusat akan berbincang dengan wakil negeri, kita akan letakkan calon tempatan tidak kira Melayu, Cina atau India, yang penting memiliki integriti,” katanya.

Mengulas lanjut, Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat tidak menolak kemungkinan DAP akan bertanding di Kelantan memandangkan sekutunya, Parti Amanah Negara (Amanah) telah membantu parti itu menubuhkan beberapa cawangan DAP di Kelantan.

Beliau berkata, bantuan kepada DAP itu termasuk mengadakan Konvensyen Biasa DAP buat julung kalinya di negeri itu pada Jumaat lalu.

“Sebagai negara demokrasi, tiada siapa boleh menghalang DAP untuk bertanding di Kelantan, cuma rakyat yang boleh menghalang DAP dan sekutunya dari mencapai kemenangan dalam pilihan raya, sekali gus menolak mereka dari melibatkan pengaruh di negeri serambi Makkah ini,” katanya.

Bagaimanapun, Che Abdullah berkata, pihaknya yakin rakyat Kelantan yang dikomposisi oleh lebih 94 peratus bangsa Melayu dan beragama Islam tidak akan membenarkan DAP bertapak di Kelantan.

Malah, katanya, rakyat juga akan menolak DAP berserta kuncu-kuncunya dalam pilihan raya akan datang.

“Bahkan, saya juga yakin orang-orang bukan Melayu bukan Islam yang inginkan pengekalan keharmonian yang telah dinikmati mereka sejak beberapa lama di negeri Kelantan juga tidak akan memberi ruang kepada DAP untuk melebarkankan pengaruhnya di sini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button